Terbitan: Aurora Creative
ISBN 978-967-10077-5-4
~Adakah Tuhan akan mengampunkan saya, umi?~
*Ia merupakan sebuah novel soft-mystery
Bab 4
“ALONG ada bawa ole-ole tak?” Shariff begitu ceria bertanya semasa memandu kereta meninggalkan KLIA. Di sebelahnya, kakaknya Shereen yang diam membisu sejak dia menjemputnya.
Shereen angguk lemah. Pertemuan beberapa minit dengan Linda tadi masih terkesan di hati dan fikirannya. Dia benar-benar tidak sangka kedatangan e-mel itu akan mengubah banyak perkara dalam hidupnya.
“Hai… tak sangka,” kata Shariff.
“Tak sangka apa pula?” Shereen menjeling tajam. Kata-kata Shariff membuatkan dia berdebar-debar.
“Ingatkan dia happy bila balik ke Malaysia tapi rupa-rupanya sedih. Ini mesti dah tersangkut dengan orang Jepun, kan?” Shariff tersengih.
“Bawa ajelah kereta tu,” katanya. Terasa sedikit lega apabila Shariff tersalah sangka. Walaupun terlintas ingatannya kepada Hadi namun ingatan itu tidaklah mengganggunya berbanding hal Sofia. Lalu, dia gunakan kesempatan itu untuk mengalih topik perbualan. “Abah ada di rumah?”
“Ada. Kenapa?” balas Shariff.
“Eh! Tak boleh tanya ke?”
“Selalunya along dengan abah tak pernah saling bertanya. Bagus juga belajar di Jepun ni.Ada perkembangan yang positif.”
“Jangan nak perli along!”
Kata-kata Shariff, membuatkan Shereen terasa hati. Memang benar, dia dan ayahnya sejak dahulu sentiasa tidak sehaluan dalam semua perkara. Apa sahaja yang dibuat tidak pernah kena di mata ayahnya. Walaupun dia sudah banyak berubah sejak pulang dari Raphael’s Cottage namun sikap ayahnya tetap sama.
Adakalanya dia sendiri tidak tahu apa yang tidak kena dengan ayahnya sehingga benci sangat kepada dia. Tetapi Shariff tidak pernah faham apa yang dialaminya. Banyak perkara yang Shariff tidak tahu kerana masih terlalu kecil semasa perkara itu berlaku.
“Dia tahu along balik hari ni?”
“Tahu kut? Takkan mak tak cakap pada dia,” balas Shariff sambil menekan brek. Pada waktu itu keretanya berhenti di lampu isyarat, mereka dalam perjalanan ke Nilai. “Oh, ya! Semalam ada kawan along datang ke rumah. Nama dia… Laila.”
“Linda.” Shereen membetulkan.
“Ya, Linda. Cantik macam artis.”
“Hisy! Jangan nak mengada,” tegur Shereen. “Lagipun dia dengan along sebaya.”
“Kawan sekolah along dulu ke? Dia kata dah lama tak jumpa along.” Shariff semakin bersemangat bercerita mengenai Linda.
Kawan sekolah? Shereen terdiam. Linda bukan rakan sekolahnya. Begitu juga Jazz dan Sofia. Mereka berempat dipertemukan takdir di sebuah rumah yang dipanggil Raphael’s Cottage. Dan rumah itu bukanlah sebuah sekolah.
Rumah itu rumah pemulihan akhlak untuk anak-anak VIP dan anak-anak orang yang berduit seperti mereka. Rumah yang selalu disifatkan tempat yang tidak boleh disebut semula oleh umi. Sebuah tempat yang dirahsiakan kewujudannya dari mata masyarakat.
“Kawan masa belajar dulu,” balasnya perlahan.
“Dia kata nak tunggu along di airport tapi tak nampak pun tadi.”
“Dah balik.”
“Oh! Ya ke?” Suara Shariff bernada hampa.
Shereen tersenyum sumbing. Dia tidak menafikan Linda sekarang sudah jauh berubah. Gadis itu lebih matang, berkeyakinan dan wajahnya juga lebih mempersonakan kerana sudah pandai bergaya.
Malah kini Linda juga sudah bertudung dan nampak sangat sopan. Dia yakin Linda sudah selesa dengan kehidupan dan semakin berjaya. Namun Linda juga ada masa silam yang hitam yang mengejar dirinya bak bayang-bayang. Sama seperti dia.
“Dahlah tu… jangan fikir nak mengorat kawan along pula. Girlfriend yang ada tu dah tak terlayan.”
Shariff tertawa galak.
“Apa-apa pun cubalah jangan buat silap. Kadang-kadang satu kesilapan itu boleh menjadi satu kesalahan yang besar,” kata Shereen penuh makna.
SETIBANYA di rumah mereka, Shereen terus mencari ibunya, Datin Khalida. Rasa rindu kerana berjauhan selama tiga bulan berbaur dengan pelbagai rasa yang lain. Seperti yang dijangkakan, hanya ibunya yang menanti kepulangannya.
“Abah ada hal,” kata Datin Khalida.
“Apa lagi yang dia ada selain hal?” Dia membalas sinis. Dia cukup kenal sikap ayahnya. Lagipun dia lebih gembira kalau tidak melihat muka ayahnya sebaik sahaja balik ke situ.
Datin Khalida terdiam. Namun, segera memaut bahu Shereen dan mengajaknya duduk di ruang tamu sementara Shariff membawa beg pakaian Shereen ke bilik tidur.
“Shereen nampak kurus,” katanya sambil membelai rambut Shereen.
“Tekak tak boleh makan sushi.”
“Habis tu? Macam mana Shereen hidup kat sana?”
Wajah Hadi segera terbayang di mata Shereen. “Kan hari tu saya dah cerita? Kawan saya itulah yang selalu sediakan makanan untuk saya. Walaupun taklah sedap sangat tapi adalah rasa makanan Melayu sikit-sikit. Itu ajelah yang saya makan selain sandwich telur, sosej dan makanan dalam tin.”
Datin Khalida tersenyum lembut.
“Macam ada yang tak kena aje ni?” Matanya terkelip-kelip.
Shereen tersenyum tawar, kemudian menarik nafas panjang. Dipegangnya tangan ibunya erat-erat dan dilabuhkan wajah ke dada ibunya Di situ hatinya terasa sedikit tenang.
“Kenapa ni? Penat?”
“Mak,” panggil Shereen. Dia teragak-agak. “Saya… saya terpaksa pergi ke tempat tu semula.”
“Tempat mana pula ni? Shereen kan baru aje balik? Rindu mak pada Shereen pun belum hilang lagi.”
“Tempat itulah… tempat yang tak boleh disebut semula.”
Kali ini Datin Khalida terus terdiam lama. Matanya tidak berkelip.
Shereen angkat kepala dan memandang wajah ibunya semula. Dia faham ibunya sedang terkejut.
“Sofia panggil semua yang pernah tinggal di situ berkumpul.”
“Berkumpul?” Dahi Datin Khalida berkerut. “Nak buat apa?”
“Umi buat majlis minum petang. Rumah tu akan dirobohkan. Jadi umi….”
“Mereka nak robohkan tempat tu?”
Shereen angguk. Dia pun baru tahu setelah diterangkan oleh Linda tadi. Pada mulanya dia anggap itu hanya jemputan untuk minum petang sahaja. Rupa-rupanya bersebab.
“Mereka nak bina rumah yang baru di atas tapak rumah tu.”
“Ooo….” Itu sahaja jawapan Datin Khalida. Kemudian menyambung, “Kalau Shereen tak pergi tak boleh ke? Shereen kan banyak kerja?”
Shereen tunduk. Daripada pertanyaan ibunya dia juga tahu bahawa ibunya berat hati mahu melepaskan dia kembali ke sana tetapi akhirnya dia menggeleng lesu. Seperti Linda, dia terpaksa mengakui ada sejalur rasa takut menghantuinya sekarang. Apa akan jadi sekiranya rahsia dia diketahui umum?
“Kalau boleh, saya pun tak nak pergi.”
“Habis tu, kenapa pergi juga?”
“Saya cuma pergi untuk tunjuk muka aje, lepas tu saya baliklah.”
“Tapi beberapa saat aje boleh mengubah hidup seseorang,” balas Puan Khalida sambil merenung wajah Shereen.
Shereen alihkan pandangan matanya ke arah lain. Kata-kata ibunya walaupun tidak bermaksud mahu melukakan hatinya tetapi dia tidak dapat mengelakkannya Dia mengakui itu benar.
“Saya tak ada pilihan, mak.”
“Mesti ada sebab lain, kan?”
Shereen mengeluh panjang.
“Kata Sofia… kalau ada sesiapa yang tak datang, dia akan bocorkan rahsia.”
Datin Khalida tergelak. “Mana boleh buat macam tu? Kita dan Tengku Mazwin dah ada perjanjian bertulis. Kita boleh saman dia kalau dia melanggar perjanjian.”
“Dan kemudian heboh dalam surat khabar?” tanya Shereen.
Air muka Datin Khalida berubah.
“Tapi takkan kita nak biarkan aje dia buat macam ni? Entah-entah esok lusa, macam-macam lagi yang dia minta. Biar mak ajelah yang pergi jumpa Tengku Mazwin.”
“Saya minta mak tak masuk campur kali ni. Saya dah besar, biarlah saya uruskan masalah saya sendiri,” balas Shereen.
Datin Khalida langsung bergumam. Dia tatap wajah Shereen. “Betul ke tak nak mak tolong ni?”
“Betul tapi saya nak minta tolong pada mak satu perkara aje.” Shereen berasa yakin. Dia boleh uruskan masalah itu kali ini. Dia bukan remaja yang mentah lagi.
“Apa dia?”
“Tolong jangan beritahu abah perkara ni,” jawab Shereen.
Walaupun dia akan berdepan dengan kesusahan namun dia lebih rela menanggungnya seorang diri daripada ayahnya tahu. Cukuplah selama ini dirinya dibenci. Kalau ayahnya tahu perkara itu, dia akan terus dibenci dan dihina.
Kesalahannya akan diungkit-ungkit bagaikan tidak ada langsung perkara yang baik pernah dilalukannya selama ini. Dan yang paling ditakutinya ialah ibunya akan diapa-apakan lagi.
“Mak tak beritahu apa-apa kalau abah Shereen tak tanya.” Datin Khalida usap bahu Shereen. “Tapi kalau abah tanya, mak tak ada pilihan.”
Shereen termenung sendiri. Tetapi dia tidak bimbang sangat, selama ini pun ayahnya bukan mengambil berat pasal dirinya kecualilah kalau ada tujuan yang lain.
Apa-apa pun, nampaknya dia akan ke Raphael’s Cottage. Dia tidak akan beri peluang kepada Sofia untuk melihat ketakutannya. Walau hakikatnya… dia memang takut.
0 komentar:
Posting Komentar