Terbitan: Aurora Creative
ISBN 978-967-10077-5-4
~Adakah Tuhan akan mengampunkan saya, umi?~
*Ia merupakan sebuah novel soft-mystery
Bab 5
Kurt’s Hill
SOFIA termenung di sisi beranda batu bercat putih. Pandangan matanya jauh menerobos hingga ke dada bukit-bukit yang diselubungi kabus. Kemudian jatuh ke arah sebuah tasik yang nampak begitu tenang. Namun, di sebalik lukisan alam yang begitu damai, hatinya resah.
Majlis yang akan berlangsung beberapa hari lagi di situ membuatkan dia letih dan berperang dengan pelbagai jalur emosi.
“Berapa orang yang kata nak datang?” Tengku Mazwin bertanya dari muka pintu.
Dia tidak mendekati Sofia kerana tidak suka kerusi roda yang dinaikinya itu terhempas lantaran permukaan lantai yang tidak sama tinggi tetapi melihatkan anaknya termenung, terdetik juga di hatinya untuk bertanya.
Sofia terus berpaling apabila terdengar suara ibunya. Sambil tersenyum dia berkata, “Setakat ni tak ada yang menolak, umi.”
Tengku Mazwin tersenyum. Lega hatinya apabila dia mendengar jawapan Sofia. Dia gembira kerana semua anak didiknya sudi hadir ke situ buat kali yang terakhir. Dia sendiri amat rindukan mereka namun apa daya, dia hanya menumpang kasih mereka yang tidak sudi.
“Baguslah kalau mereka sanggup datang lagi ke sini. Umi ingatkan, selepas keluar aje dari rumah ni, nama rumah ni pun mereka takut nak sebut.”
Sofia tersenyum tenang. Dia mendekati ibunya lalu duduk melutut. Direbahkan kepalanya ke riba ibunya. Di situ dia berasa sedikit tenang.
“Takkanlah mereka nak lupakan umi dan rumah ni. Jasa umi pada mereka tak terbalas walaupun dengan wang ringgit,” katanya sambil menyapu air mata yang gugur ke pipi. Dia tidak mahu ibunya tahu apa yang sedang bersarang di hati.
“Umur umi dah tak panjang. Umi cuma mahu bertemu dengan mereka buat kali terakhir. Umi nak minta maaf kalau-kalau selama umi menjaga mereka di sini, ada salah dan dosa umi kepada mereka.”
Sofia menggeleng.
“Jangan cakap macam tu, umi. Umur umi panjang lagi.”
“Jangan menafikan kematian, Sofia. Kematian itu bak bayang-bayang yang sentiasa ada di sisi kita, bila-bila masa aje akan menjadi nyata. Semua manusia akan mati, termasuk umi.”
Sofia tetap menggeleng. Dia tahu, ibunya sudah hampir 60 tahun umurnya dan juga sudah uzur dengan pelbagai jenis penyakit namun, dia belum bersedia untuk berpisah dengan ibunya. Ibunya adalah tonggak kekuatan hidupnya.
“Cuma umi harap, selepas umi pergi… kamu dan Razif akan teruskan apa yang umi usahakan selama ni. Bukan kekayaan yang kita cari tapi kalau kita dapat membantu masalah orang lain, kita mesti bantu. Itu panggilan untuk kita.
Dalam hidup ni, kita mesti menjadi orang yang berguna, orang yang membantu dan orang yang memberi kerana ALLAH Ta’ala.”
“Saya faham. Sekarang ni pun, permintaan untuk masuk ke Raphael’s Cottage semakin bertambah. Saya cuma bimbang kalau saya tak mampu uruskan mereka kalau terlalu ramai.”
“Umi pun tak suruh kamu terima terlalu ramai. Ikutlah apa yang telah umi buat selama ini. Tiga orang tu dah maksima pada satu-satu masa. Kalau lebih ramai daripada itu, akan timbul masalah. Kita bukan tak tahu yang mereka memang sudah sedia bermasalah sebelum dihantar ke sini. Nanti kecoh kalau ramai-ramai.”
Sofia mengeluh perlahan-lahan. Dia teringat-kan panggilan telefon yang diterimanya saban hari. Ada ibu bapa yang merayu-rayu meminta anak perempuan mereka dimasukkan ke Raphael’s Cottage. Malah, ada yang sanggup membayar berapa sahaja harga yang ditetapkan supaya anaknya diterima masuk ke situ. Tetapi apa dayanya?
Nilai eksklusif Raphael’s Cottage perlu dipertahankan, kalau tidak…misi Raphael’s Cottage sebagai rumah pemulihan akhlak untuk anak-anak orang berada akan gagal. Dia tidak sanggup memusnahkan apa yang telah dibina ibunya puluhan tahun yang lalu. Walaupun kalau difikirkan soal duit, dia boleh minta berapa sahaja.
“Mungkin kalau ada sepuluh Raphael’s Cottage sekalipun belum cukup untuk menampung permintaan mereka, umi.” Itulah yang difikirkan sekarang.
“Masalah sosial semakin teruk. Sebab tu umi dah tak sanggup baca surat khabar. Bayi dicampak macam bangkai. Tak tahulah apa dah jadi dengan otak budak-budak sekarang. Sudah tak takut buat dosa. Sudah tak ada rasa kemanusiaan. Kucing pun tak buat macam tu.”
“Ada rumah pemulihan akhlak yang NGO buat dengan bantuan kerajaan, daripada sebuah sudah bertambah hingga ke lima buah. Masalah ini sudah tak terkawal lagi, umi.”
Sofia usap tangan ibunya yang sudah berkedut. Di tangan itulah, dia melihat sebilangan gadis berubah laku. Tangan yang disifatkan sebagai tangan ajaib oleh dia dan ibu bapa.
Anak-anak perempuan yang liar, yang tidak mendengar kata, yang melawan ibu bapa, yang terlanjur, yang tidak kenal hukum hakam… semuanya tunduk apabila berhadapan dengan kedua-dua belah tangan itu.
Namun Sofia tahu jauh di sudut hati, ibunya sedih. Ibunya terkesan dengan setiap masalah yang menimpa gadis-gadis yang pernah menginap di Raphael’s Cottage. Dia pernah melihat ibunya menangis apabila dilawan, dibentak, ditengking dan dihina oleh gadis-gadis itu ketika mula sampai di situ.
Maka, dia tidak hairan kalau diam-diam ibunya didapati menghidap pelbagai jenis penyakit. Ibunya banyak memendam perasaan demi melihat mereka kembali ke jalan yang benar. Dia sendiri tidak pasti adakah dia akan setabah ibunya nanti.
“Kenapalah keadaan semakin teruk?” tanya Tengku Mazwin.
“Nak buat macam mana, umi? Dah akhir zaman,” balas Sofia perlahan. Dia sendiri tidak ada jawapan untuk semua masalah yang semakin teruk itu.
“Kalau dah tahu kita berada di akhir zaman, makinlah kita kena buat baik. Kiamat dah dekat.”
“Tak semua orang fikir macam kita.” Itu sahaja jawapan yang boleh diberikan Sofia.
“Umi harap, semasa bertemu dengan mereka nanti umi boleh ingatkan hal ini. Kalau dulu mereka buat silap, umi harap mereka dapat menghalang anak-anak mereka dari mengulangi kesilapan yang sama. Kalau tidak sia-sialah usaha umi.”
“Saya akan pastikan, mereka semua datang.”
Sofia tersenyum. Dia tidak mahu ibunya berasa bimbang. Dia mahu impian ibunya itu menjadi kenyataan kerana dia tahu perkara itu sangat penting kepada ibunya. Tidak kiralah bagaimana impian itu akan dilaksanakan, walaupun terpaksa berkeras dan mengugut. Dia akan lakukan.
BEBERAPA jam selepas itu, Sofia duduk berhadapan dengan Mak Wiyah. Sambil mengunyah nasi lemak dalam mulut, dia memeriksa buku catatannya. Masih ada beberapa perkara yang belum diselesaikan dan dia berasa bimbang.
“Sarapan untuk umi dah hantar?” Dia menjeling ke arah Mak Wiyah seketika.
“Dah, sebelum Datin turun lagi tadi. Tapi umi Datin kata tak nak makan roti pagi ni, dia nak makan bubur nasi pula.”
“Mak Wiyah dah tanak ke belum?” Kali ini Sofia menumpukan perhatian kepada kata-kata Mak Wiyah. Dia bimbang kalau ibunya lapar pula sementara menanti bubur nasi masak.
“Ada atas dapur. Rosni sedang jaga.”
“Jangan letak garam banyak sangat.”
“Ya, Mak Wiyah ingat,” balas Mak Wiyah dengan cepat.
Sofia kembali menekuni buku catatannya.
“Kita ada banyak kerja nanti, Mak Wiyah. Nak tak nak, saya terpaksa juga susahkan Mak Wiyah.” Sofia tutup buku catatannya.
“Mak Wiyah pun berdebar-debar ni, maklumlah ada yang dah dekat dua puluh tahun tak jumpa.”
“Mereka datang bukan sebab nak jumpa kita, Mak Wiyah. Ini pun… kalau tak dipaksa, jangan harap sorang pun nak tunjuk lagi muka ke rumah ni.”
Mak Wiyah terus terdiam, riak wajahnya yang teruja tadi terus pudar.
Sofia sedar dia telah mematikan harapan Mak Wiyah. Dia juga tahu selama ini, selain dia dan ibunya, penghuni rumah itu sangat rapat dengan Mak Wiyah. Bahkan Mak Wiyah acapkali membantu gadis-gadis itu tanpa pengetahuan ibunya sendiri. Dia tahu tetapi hanya buat tidak tahu.
“Tapi kita memang tak pernah buat jamuan sebesar ini di sini. Harap-harap tak adalah masalah apa-apa.”
“Rasanya tak ada masalah besar. Saya cuma amanahkan kepada Mak Wiyah dan Rosni untuk bantu saya uruskan jamuan. Walaupun kita buat secara buffet,tapi kita tak upah pelayan. Jadi Mak Wiyah dan Rosni kena pastikan semua makanan dan minuman cukup untuk semua. Saya dan Datuk kena uruskan hal kehadiran jemputan. Selain tu, saya juga kena perhatikan umi.”
“Datin jangan risau. Tahulah saya dan Rosni uruskan nanti.”
“Lagi satu, bunga ros yang saya tempah akan sampai pagi Sabtu. Pagi tu juga, Mak Wiyah dan Rosni kena gubah untuk hiasan meja tetamu dan meja utama. Soal khemah, saya dah tempah. Mereka akan pasang pada petang Jumaat.” Sofia ingatkan Mak Wiyah sekali lagi. “Selain tu malam nanti, kita bertiga kena siapkan cenderamata untuk mereka. Ada tiga puluh beg lagi yang belum disiapkan.”
Mak Wiyah angguk berulang kali.
“Mak Wiyah dah kemas barang-barang Mak Wiyah? Kalau dah, petang nanti saya boleh suruh pemandu angkut ke rumah.”
“Semua dah siap,” jawab Mak Wiyah.
“Saya nak ke bandar ni, ambil baju umi. Mak Wiyah jangan lupa pula hantar bubur umi. Pastikan juga umi makan ubat.” Sofia bangun meninggalkan meja makan. Dia terus menuju ke muka pintu rumah agam yang mempunyai dua belas buah bilik itu.
Mak Wiyah pandang sahaja sebelum bergegas ke dapur memeriksa bubur.
SEBAIK sahaja bubur nasi masak, Mak Wiyah bawa ke bilik Tengku Mazwin. Dia letakkan dulang yang mengandungi semangkuk bubur nasi dan segelas air suam di atas meja bulat. Dia mendekati Tengku Mazwin yang tekun membaca Al-Qur’an di atas katil.
Menyedari kehadiran Mak Wiyah, Tengku Mazwin menyudahkan bacaannya di penghujung sebuah ain. Lalu kitab suci itu diletak baik-baik di sebelah katilnya.
“Puan nak makan sekarang?” Mak Wiyah bertanya.
“Boleh juga,” jawab Tengku Mazwin. Cermin mata yang dipakainya tadi ditanggalkan lalu diletakkan di atas meja sisi. Dia membetulkan duduk sementara Mak Wiyah mengangkat dulang. “Sofia dah keluar?”
“Dah, puan.” Pendek sahaja balasan Mak Wiyah sewaktu menyerahkan mangkuk bubur ke tangan Tengku Mazwin. Setelah mangkuk bertukar tangan, dia merebahkan punggung di birai katil sambil memegang gelas.
“Kenapa Mak Wiyah macam sedih aje? Ada masalah ke?”
Pertanyaan itu membuatkan Mak Wiyah tersenyum tawar. Bukan dia sengaja mempamerkan wajah sedih, dia memang sedih.
“Macam mana tak sedih, puan? Bukan sehari dua saya tinggal di rumah ni. Dah dekat 30 tahun.”
Mendengarkan jawapan Mak Wiyah, Tengku Mazwin terus faham. Dia sendiri rasa apa yang Mak Wiyah rasa. Malah sejak rumah itu siap dibina sebelum Sofia lahir lagi, dia tidak pernah berpisah lama dengan rumah itu. Itulah satu-satunya lambang cinta antara dia dan suaminya, Raphael.
“Kita pindah sekejap aje. Selepas rumah baru siap, kita pindahlah balik ke sini. Kata Razif dalam enam tujuh bulan aje.”
“Mungkin bukan masa yang jadi masalah. Tapi nak melepaskan apa yang dah biasa, itulah yang susah.”
“Kalau ikutkan saya, saya pun tak berapa setuju Razif nak runtuhkan rumah ni. Tapi kata dia, rumah ni dah buruk sangat. Dia nak bina yang baru yang lebih banyak bilik dan berbentuk moden. Setiap bilik akan ada bilik air sendiri, bukan macam sekarang, bilik air di luar bilik. Nak ditambah-tambah aje, kata dia lebih rumit.”
“Tak apalah, puan. Saya ni orang gaji aje. Di mana puan letak, di situ saya anak-beranak tidur.”
Tengku Mazwin tersenyum. Sambil mengacau bubur nasi dia berkata, “Kita dah lama hidup bersama di rumah ni. Saya dah anggap awak dan anak-anak awak semua tu ahli rumah ini juga. Kalau tak ada awak yang menolong saya menguruskan budak-budak tu dulu, Raphael’s Cottage takkan berjaya mengubah mereka.”
“Saya risau, puan. Puan nak teruskan juga rancangan puan tu?” Mak Wiyah renung muka Tengku Mazwin lama-lama.
Tengku Mazwin membalas.
“Hati saya tak tenang kalau saya tak tahu hal yang sebenarnya.”
“Kenapa mesti sekarang?”
“Awak pun tahu yang saya dah tak ada masa. Saya tak nak pergi dalam keadaan yang macam ni. Lagipun saya tak boleh sabar lagi. Saya nak tahu juga,” balas Tengku Mazwin. “Antara mereka bertiga, siapa yang punya kerja.”
“Tapi perkara ni dah terlalu lama, puan. Kan lebih elok kalau kita diamkan aje?”
“Saya bukan nak hebohkan perkara ni. Cukuplah kalau salah seorang daripada mereka bertiga mengaku kepada kita.”
Mak Wiyah terdiam lama. Perasaannya berbelah bahagi.
“Saya juga rasa bersalah. Saya mahu tahu apa salah saya sampaikan mereka sanggup buat macam tu pada saya,” tambah Tengku Mazwin sambil menahan perasaan marah dan kecewa. Itulah perasaan yang cuba dibendung bertahun-tahun.
Melihatkan keadaan itu, Mak Wiyah usap tangan Tengku Mazwin dengan perlahan. Dia faham. Dia sendiri sehingga kini turut tertanya-tanya. Antara Linda, Shereen dan Jasmina siapa yang melakukannya? Yang dia pasti bukan Jasmina.
0 komentar:
Posting Komentar