Terbitan: Aurora Creative
ISBN 978-967-10077-5-4
~Adakah Tuhan akan mengampunkan saya, umi?~
*Ia merupakan sebuah novel soft-mystery
Bab 3
Sementara itu di Universiti Ehime,
Matsuyama, Jepun.
Ucapan penutupan kursus tiga bulan di situ, baru sahaja selesai dibuat oleh Profesor Yasunobu. Shereen menarik nafas lega kerana segala penat lelah dan kepayahannya selama tiga bulan di rantau orang itu bertemu juga dengan garis penamat. Selain itu, dalam kepalanya hanya terbayang tanah air yang dirinduinya di samping wajah ibu dan adiknya.
Walaupun hanya tiga bulan, tempoh itu cukup membuatnya menghargai apa yang ada di sisinya. Ia juga menjadi titik penyubur semangat untuknya menyiapkan tesis Ph.D yang diidam-idamkan sekian lama.
Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada kawan-kawan yang sama-sama mengambil kursus di situ dan juga tenaga pengajar, Shereen meninggalkan bangunan Fakulti Matematik itu dengan rasa yang bercampur aduk.
“Shereen!” panggil seorang lelaki berpakaian ringkas dengan beg sandang di bahu. Tergesa-gesa dia mengejar Shereen. Namanya, Hadi.
Mendengarkan panggilan itu, Shereen terus berpaling. Spontan dia rasa serba-salah. “Aku baru nak cari kau tadi. Tak sangka pula kau ada di sini.”
“Takkan aku nak lepaskan kelas terakhir Prof. Yosunobu. Dia guru yang aku kagumi,” jawab Hadi. Kini, mereka mula berjalan beriringan meninggalkan dewan.
“Hadi, aku nak ucapkan terima kasih pada kau.”
Hingga di situ sahaja yang dapat diluahkan oleh Shereen. Selebihnya hanya tersimpan dalam hati. Padahal, dia amat terhutang budi kepada lelaki itu kerana selama dia berada di bumi Matsuyama, Hadi banyak membantunya. Malah, rumah lelaki itu juga bagaikan tempat makan minumnya seharian kerana tekaknya langsung tidak boleh menerima makanan Jepun.
“Perkara kecil aje tu,” balas Hadi sambil tersenyum simpul.
“Kau banyak memudahkan kehidupan aku di sini, Hadi. Kalau tak ada kau, mungkin dah lama aku cabut balik ke Malaysia.”
Kata-kata Shereen membuatkan Hadi ketawa panjang. Dia teringatkan keadaan Shereen yang asyik muntah-muntah sewaktu mula-mula tiba di situ. Selepas seminggu Shereen terus demam panas.
“Selepas ni kau nak terus balik ke bilik atau nak ke mana-mana?”
“Cadangnya tadi, selepas jumpa kau aku nak pergi beli souvenir sikit,” balas Shereen.
“Dua hari lepas kan dah beli? Tak cukup-cukup lagi?” Hadi memandang pelik ke arah Shereen.
Senyuman Shereen semakin lebar. Teringat sesi jalan-jalan dia bersama Hadi beberapa hari yang lepas ke Dogo Onsen. Satu-satunya tempat yang paling ingin dilawatinya sejak tahu dia akan berkursus di situ. Mana mungkin dia melepaskan peluang melihat rumah mandian tertua yang menjadi latar filem animasi Jepun, ‘Spirited away’ kegemarannya.
“Alah, bukannya selalu sampai sini. Lagipun yang aku beli di Dogo Onsen bukannya banyak,” balasnya.
“Ah! Kalau mahu seribu daya, tak mahu seribu dalih,” bidas Hadi dengan lancar walaupun sudah lama berlidah Jepun.
Shereen ketawa sahaja. Memang benar apa yang dikatakan oleh Hadi namun, dia sudah tidak ada banyak masa lagi. Cukuplah selama ini dia membazirkan masa dan peluang, sekarang dia hanya mahu maju ke hadapan mencapai segala apa yang diimpikan termasuklah gelaran Ph.D dan pengiktirafan yang akan dipungut satu persatu. Dia mahu menjadi seorang yang berjaya. Itu impiannya sekarang.
“Baik, aku janji dengan kau. Selagi aku tak dapat Ph.D, aku takkan datang ke sini lagi.”
Hadi ketawa kecil. “Kita sudah ada janji. Aku yakin, kau akan berjaya dapatkan Ph.D yang kau idam-idamkan itu. Kemudian datang ke sini bersama suami kau.”
Kali ini Shereen tersenyap seketika. Suami? Akhirnya dia menggeleng lemah. Rasanya permintaan Hadi itu sudah agak keterlaluan.
“Aku tak boleh berjanji untuk datang berdua, tapi untuk datang seorang aku akan usahakan,” balasnya sambil melangkah.
Entah kenapa kata-kata Hadi itu membuatkan dia berasa sedih. Sudah lama dikuburkan impian untuk berbahagia seperti gadis lain. Dia rasa dia tidak layak untuk mana-mana lelaki pun.
“Janji untuk ditepati bukan untuk diingkari.” Hadi menuturkannya dengan tenang.
“Insya-ALLAH. Aku sambut sebagai cabaran.”
“Aku akan pegang janji kau.”
Shereen senyum sahaja. Getar suara Hadi, renungan mata Hadi, semuanya menyampaikan maksud yang lain. Dia faham. Namun, tembok yang dibina mengelilingi hatinya masih terlalu kebal untuk diruntuhkan dalam waktu yang singkat.
“Pukul berapa flight nanti?” Hadi mengajak Shereen berhenti rehat di sebuah kerusi.
“Pukul 8.00 pagi,” jawabnya sambil menelan rasa sedih yang tiba-tiba datang. “Kau tak mahu balik sekali?”
Hadi menggeleng lemah.
“Tak ada sebab nak balik. Lagipun bukannya ada orang yang tunggu pun,” katanya. “Hidup aku di sini.”
Nada suara Hadi yng berubah membuatkan Sheren rasa kesal bertanya. Ingin sekali dia memujuk namun dia yakin, pasti ada sesuatu yang menyebabkan lelaki itu bertindak begitu. Dan dia belum mahu masuk campur sejauh itu.
“Kalau kau terfikir nak balik ke sana… Aku sedia menunggu di airport.Call aje.”
Kali ini Hadi tersenyum panjang. Selepas berbual lebih kurang, Shereen meminta diri dengan janji untuk bertemu lagi di lapangan terbang hari esok. Baru sahaja dia menapak lima langkah, sebuah e-mel menerjah masuk ke telefon pintarnya.
Dahinya berkerut apabila membaca nama pengirim e-mel tersebut. Sofia?
Keesokan petangnya…
SUASANA di KLIA begitu sibuk. Penumpang-penumpang beberapa buah penerbangan dari luar negara baru turun. Di sesetengah tempat mula sesak dan yang menanti berasak-asak pula ke hadapan mencari wajah-wajah yang dirindui. Dalam kesibukan itu, Shereen tercari-cari seseorang yang sepatutnya menjemputnya di situ.
“Manalah pula budak ni?”
Shereen berbisik sendirian sambil tercari-cari adiknya di celah-celah orang ramai yang lalu-lalang di situ. Setelah wajah yang dicari tidak kelihatan, dia menolak troli bagasinya perlahan-lahan ke tempat duduk. Sedang terkial-kial mencari telefon, dia ditegur seseorang.
“Shereen!”
Shereen segera berpaling. Itu bukan suara adiknya tetapi seakan-akan suara seseorang yang pernah hadir dalam hidupnya suatu ketika dahulu.
“Linda…,” balasnya separuh teruja. Lain yang diharapkan tiba, lain yang datang. “What a surprise..”
Linda tersenyum. Dia sedar Shereen terperanjat melihat dia di situ dan mungkin dia antara manusia yang tidak ingin dilihat Shereen dalam hidupnya. Dia faham. Dia tidak marahkan Shereen sebab dia juga begitu. Dua kali lima.
“Kau apa khabar?” tanyanya sambil menyuakan tapak tangan untuk bersalam.
“Macam nilah,” balas Shereen. Dia mempelawa Linda duduk di sebelah dengan rasa yang tidak tentu hala. Kenapa boleh bertemu dengan Linda pula? Aneh. “Ini bukan satu kebetulan, kan?”
“Aku ke rumah kau semalam tapi ibu kau beritahu yang kau berkursus di Jepun. Dan akan balik ke Malaysia petang ini. Dia yang beritahu pukul berapa kau akan sampai dan naik flight apa. Tapi rasanya kau dah lewat hampir sejam.”
“Patutlah,” bisik Shereen. Sekarang dia sudah jelas. Dan apa yang lebih mengkagumkan dia ialah Linda masih tahu alamat rumahnya. Menyesal pula dia beri alamat itu dahulu. “Ini semua tentu pasal jemputan Sofia tu, kan?”
“Dari cara kau bertanya tu, maknanya kau pun dah tahu.”
Shereen angguk dengan tenang. Ya, memang dia sudah tahu. “Tapi jangan harap aku akan pergi.”
“Sayangnya, sekarang bukan giliran kita untuk menggerakkan buah catur.” Linda pandang muka Shereen lama-lama. Walaupun sudah begitu lama tidak bertemu, namun gadis kacukan Pakistan-Melayu itu tetap manis malah kelihatan lebih yakin dan matang di sebalik hijab dan jubah yang dipakai.
“Giliran siapa?”
“Sofia.”
“Tak percayalah,” balas Shereen.
Dia bukan sahaja tidak percaya malah benci memikirkan sekiranya dia terpaksa mengikut telunjuk orang lain. Ini negara bebas. Apa hal pula Sofia mahu tunjuk kuasa?
“Mungkin penjelasan Sofia tak cukup jelas. Tapi percayalah, Sofia sentiasa ada jalan untuk mendapatkan apa yang dia mahu.”
Shereen terdiam seketika. Begitu gilakah, Sofia? “Mungkin kerana dia rasa kita ni lemah,” balasnya kemudian.
“Bukan kerana kita lemah, tapi kerana dia tahu betapa berharganya kehidupan kita sekarang kepada kita.”
“Jadi, dia nak paksa kita semua datang juga ke majlis tu?”
Linda angguk. “Aku juga rasa seperti apa yang kau rasa. Malah Jazz lagi teruk. Dia masih berada di Amsterdam dan baru aje menang awardmalam tadi. Bayangkan macam mana kelam kabutnya dia di sana.”
“Aku tahu. Aku baca di internet.”
“Sofia akan hancurkan hidup kita kalau kita tak datang. Bagaimana dengan jawatan kau di universiti tu? Di mana kau nak letak muka kau kalau student-studentkau tengok gambar-gambar kau terpampang di mana-mana? Bagaimana pula dengan ayah kau? Dia tak marah ke kalau hal lama tu tersebar?”
Shereen mendengus. Kata-kata Linda membuatnya termenung jauh. Sofia memang teruk tetapi dia mahu tahu kenapa umi membenarkan hal itu berlaku? Bukankah semuanya di bawah kawalan umi? Adakah umi juga seteruk Sofia? Apa sudah jadi kepada mereka berdua?
“I hate her!” katanya. “I hate her!”
“Kau tak bersendirian,” balas Linda. “Dulu dan sekarang jauh berbeza. Kalau dulu kita mungkin lebih mementingkan diri sendiri tapi sekarang, banyak perkara lain yang kita perlu fikirkan. Soal keluarga, soal kerja, soal kehidupan kita yang dah kembali normal…”
“Jadi kau akan datang juga ke majlis tu?” Akhirnya Shereen bertanya. Dia dapat rasakan yang Linda ketakutan. Dia juga yakin Jazz juga begitu. Mereka bertiga sama sahaja. Sama-sama punya masa silam yang dirahsiakan.
“Aku tak nampak pilihan lain buat masa ni. Lagipun aku buat demi apa yang aku perjuangkan, Shereen. Kau ingat senang, aku nak sampai ke tahap ini? 10 tahun aku bekerja siang malam,” jawab Linda sepenuh hati.
Shereen hanya mendiamkan diri. Kata-kata Linda membuat dia terkenang kepada segala apa yang telah dilaluinya 10 tahun yang lalu sebaik sahaja keluar dari Raphael’s Cottage. Dia juga berhempas pulas mengembalikan hidupnya ke atas landasan.
“Hanya beberapa jam aje. Selepas semua itu berakhir, kita akan pulang kepada kehidupan kita semula.”
“Kau pasti?” Shereen mencebik.
“Kau ragu?”
“Perbuatan mengugut dan perbuatan bergolok-gadai, lebih kurang sama. Sekali dah buat, untuk buat kali kedua sudah tak susah lagi. Sebab tu jangan mulakan.”
“Kau fikir Sofia akan terus mengugut kita?”
“Apa bezanya Sofia dengan orang lain?” balas Shereen sambil tersenyum pahit.
“Tapi apa yang kau nak buat?” Linda merenung Shereen.
Shereen hanya menggeleng lesu. Dia sendiri belum tahu cuma sekarang dia sedar yang dia tidak boleh ambil mudah e-mel yang diterimanya semasa berada di Jepun
0 komentar:
Posting Komentar