Nantikan novel penuh PUJA pada bulan Disember 2014
Kampung Silak Tua
“BETUL KE itu abang, mak?” Bahiyah bertanya berkali-kali. Besar matanya melihat kereta Jimmy beredar dari halaman rumah pak ngah tadi.
“Ya… itulah abang Bahiyah. Semasa Bahiyah kecil dulu, dialah yang suka dukung Bahiyah,” cerita Mak Jiha dengan gembiranya.
Dia bersyukur kerana doanya setiap hari akhirnya dimakbulkan juga. Dengan kuasa ALLAH di saat-saat genting seperti itu, anaknya pulang. Namun apa yang membuatkan dia sangat bersyukur ialah apabila melihat Jimmy pulang dalam keadaan yang selamat dan elok. Itulah doanya setiap masa. Janganlah anaknya ditimpa apa-apa petaka.
Jawapan ibunya, membuatkan Bahiyah tersengih lebar. Dia kemudiannya berlari ke dapur untuk membantu Aisha menyusun kuih.
Mak Yan yang tadinya diam sahaja di sebelah Mak Jiha terus bersuara sambil tersenyum. “Gembira betul dia,” katanya, merujuk kepada Bahiyah.
“Dia mana ingat? Semasa abangnya pergi dulu, dia belum lagi setahun umurnya,” jawab Mak Jiha. Pinggan di tangannya dilap sampai kering. Namun ingatannya tetap melayang jauh ke belakang.
“Dia ada cakap dia ke mana selama ni?”
Mak Jiha menggeleng. Terasa kulit mukanya berubah panas. “Biarlah dulu, Yan. Kalau dia tak cakap, kak long malas nak tanya-tanya. Silap-silap tanya, nanti merajuk lagi.”
Mak Yan angguk faham.
“Dia dah balik tu, syukur sangat dah. Kak long pun tak sangka dapat tengok muka dia semula hari ni. Macam mimpi pun ada.” Mak Jiha kesat air matanya yang gugur tanpa sengaja. Sememangnya dia sangat bersyukur dan terharu.
Melihatkan Mak Jiha begitu terharu, Mak Yan usap lengan Mak Jiha dengan lembut. Dia faham hati seorang ibu. Walaupun tidak pernah diluahkan namun ibu mana yang tidak rindukan anak. Itu belum dicampur soal risau dan takut kalau apa-apa yang buruk menimpa anak. Anak-anak sahaja yang tidak pernah faham perasaan seorang ibu.
“Kita anggap aje perkara tu tak pernah berlaku, kak. Moga-moga sejuk hati dia. Hendak dia balik selalu ke sini tengok kak long dan adik-adik dia selepas ni.”
Mak Jiha angguk lemah. Begitulah harapan dia, selepas Jimmy balik ke situ setelah begitu lama meninggalkan mereka. Kepulangan Jimmy menunjukkan bahawa mereka tidak pernah dilupai. Cuma mungkin, rasa rajuk yang masih ada di hati anaknya, menjadi batu penghalang selama ini. Dia faham sengketa dua beranak itu mesti dipadamkan segera cuma dia tidak tahu bagaimana.
“Lama ke dia balik?” tanya Mak Yan sambil menyusun pinggan-pinggan yang sudah dilap oleh Mak Jiha.
“Dia tak cakap pulak, Yan. Tapi kalau boleh, biarlah dia balik lama sikit.” Itulah harapan Mak Jiha.
0 komentar:
Posting Komentar