PUJA : Bab 8

Posted by

Jangan lupa dapatkan novel penuh Horror-Thriller :  PUJA tidak lama lagi ya.

Kuala Lumpur
TANPA Jimmy di rumah, Manjoy berasa bosan. Lalu dia membuat keputusan untuk keluar berhibur. Setelah meredah jalan raya yang tidak pernah lengang, dia tiba juga ke tempat Suharto. Belum sempat hendak tersenyum, rasa gembiranya terus pudar. Irama dangdut yang begitu rancak pun terasa hambar.
Memikirkan dia sudah datang sejauh itu, dia cuba bersabar.
“Apa hal kau boleh ada dekat sini?” Dia tarik kerusi lalu duduk. Digamitnya seorang pelayan untuk menghantarkan minuman.
“Tempat ni kau punya ke?” sindir Tang sambil matanya lurus memandang skrin televisyen tidak jauh darinya. Ada perlawanan Muay Thai Fit Warriors sedang ditayangkan.
Manjoy berdengus. Dia sudah lali dengan sikap Tang yang sombong tetapi sejujurnya dia tidak suka Tang berada di situ. Seleranya terus hilang kerana Tang seorang yang pengotor. Bau badan Tang kadangkala mengalahkan bau haiwan di zoo. Memikirkan soal itu, dia angkat punggung untuk beredar tetapi ditahan oleh Tang.
“Mana Jimmy?”
“Tidur,” balas Manjoy. Dia makin mahu segera beredar. Bahaya. Sayangnya kata-kata Tang mematikan langkahnya.
 “Lokkai suruh aku ajak kau pergi Wang Kelian.”
“Buat apa?” Manjoy renung muka Tang.
“Apa lagi?” balas Tang sambil tersenyum nipis.
Manjoy tarik nafas. Dia segera faham tetapi mengikut Tang bukan kerja yang dia suka. Dia lebih suka berkerja dengan Jimmy. Cuma kadang-kadang Jimmy bawa Pakkai.
“Mahal depa bayar. Dua kepala,” tambah Tang lagi sambil jari-jemarinya mengetuk-ngetuk meja.
“Yang dua minggu lepas tu, kau boleh buat sorang.” Manjoy melepaskan geram. Memang dia marah pada Lokkai. Sepatutnya dia yang pergi tetapi di saat akhir, Lokkai suruh Tang. Memang selama ini Tang yang selalu dapat kerja yang bayarannya mahal-mahal. Dia rasa Lokkai tidak adil.
“Yang tu kerja senang… orang kampung naik motor buruk,” balas Tang. “Yang ni bodyguardkeliling pinggang. Mana sama?”
“Kalau orang kampung kenapa depa bayar kau mahal sangat?” tingkah Manjoy. Dia benci diperbodohkan.
“Lantak kaulah kalau tak percaya. Pasal apa depa bayar mahal, tu bukan kerja aku. Kerja aku… habiskan aje.”
“Pergilah sorang…” Manjoy terus beredar.
Walaupun dia menolak peluang, dia juga ada harga diri. Kalau Lokkai tidak percaya pada dia, tidak payahlah harapkan dia lagi untuk kerja-kerja macam itu. Lagipun dia tidak suka berdekatan dengan Tang. Sekejap pun boleh hilang selera. Inikan pula kalau duduk dekat berhari-hari. Mahu dia hilang selera seumur hidup.
Di muka pintu, dia berselisih dengan Suharto yang baru sahaja tiba.

“MAHU ke mana kamu?” tegur Suharto. Bahu Manjoy dipaut mesra.
“Ada haiwan zoo dalam tu. Mati selera aku.” Manjoy tarik muka masam. Suharto pun tahu siapa yang dia maksudkan.


Blog, Updated at: September 30, 2014

0 komentar:

Posting Komentar

Cari Blog Ini

Diberdayakan oleh Blogger.