Sejak Kita Bertemu: Bab 13

Posted by



Bab 13
“ANIS! Anis! Kenapa tidur di sini?” Suara Damien mula riuh di pagi hari itu.
Dia benar-benar terkejut apabila mendapati Anis tergolek di atas lantai dengan tangan terkulai ke tangga. Fikirnya Anis turun untuk menyediakan sarapan rupanya bukan.
“Anis?” Dia terus memanggil.
Risau hatinya apabila tubuh Anis terasa amat sejuk bak air batu, bibir Anis juga kering dan membiru. Lalu tanpa berlengah, dikendong tubuh Anis dan dibawanya ke dalam bilik. Tubuh Anis diselimutnya hingga ke paras leher. Dia bingung. Mujurlah beberapa saat selepas itu, Anis mula bergerak-gerak.
“Anis,” panggilnya segera. Dia ingin sangat melihat Anis sekurang-kurangnya membuka mata.
“Abang…,” jawab Anis perlahan.
Damien meletakkan tapak tangannya ke dahi Anis, dia tergamam. Dahi Anis panas berapi pula walaupun bibirnya masih membiru kesejukan.
“Anis, abang bawa Anis ke hospital ya? Anis demam.”
Tanpa diduga, Anis menggeleng lemah. “Ubat…,” katanya.
“Tunggu sekejap.” Damien tergesa-gesa meninggalkan katil. Dalam kepalanya hanya terbayangkan ubat demam yang mungkin ada di dapur.
******
WALAUPUN masih bingung dengan apa yang telah berlaku kepada Anis, Damien turun juga ke tingkat bawah. Setiap kali tapak kakinya memijak anak tangga yang berlapiskan marmar hitam, ada rasa sejuk yang menjalar hingga ke urat perut. Dia sendiri tidak sangka rumah itu akan sesejuk itu pada waktu pagi. Mungkin juga dengan sebab itu Anis jatuh sakit dengan tiba-tiba, fikirnya.
Setibanya di tingkat bawah, dia terus menuju ke bilik dapur. Sedang dia mencari Peti Kecemasan yang mungkin ada di situ, dia ditegur oleh satu suara yang lembut.
 “Tuan cari apa?”
Damien mengurut dada sambil beristirgfar dalam hati. Di muka pintu dapur, kelihatan Maya berdiri di situ dengan baju-T dan kain batiknya seperti semalam cuma lain warna dan corak.
“Tuan cari apa?” ulang Maya.
 “Ada ubat demam? Panadol ke… atau apa-apa saja,” katanya tergesa-gesa setelah rasa terkejutnya hilang. Dia benar-benar tidak sangka ada orang lain di situ kerana hari masih lagi awal pagi. Cepat betul Maya masuk kerja?
 Dia kembali membuka dan menutup pintu kabinet dapur. Namun tidak kelihatan langsung tanda-tanda peti kecemasan wujud di rumah itu. Dia menuju pula ke arah peti ais. Juga kosong.
“Tak pasti pula saya, tuan.” Maya menjawab dan sama-sama sibuk mencari berdekatan dengan Damien.
“Ada?” tanya Damien lagi.
Maya menggeleng.
“Biar saya cuba cari di sebelah depan. Mungkin ada di dalam almari dekat tangga. Maya menjeling sebelum beredar. Lemah gemalai dia mengatur langkah ke arah almari yang dimaksudkan.
Damien diam sahaja. Dia menuju ke arah cerek elektrik yang terletak elok di atas kabinet dapur. Dituang segelas air yang suam untuk Anis. Dia berharap benar agar ada ubat walaupun sebiji dua. Menyesal pula kerana tidak bersedia menghadapi kemungkinan itu.
“Jumpa tak?” tanya Damien.
“Oh, tuan!” Maya terperanjat lalu bergerak ke belakang dan terlanggar tubuh Damien yang memegang segelas air. Akibatnya, baju Damien basah bersimbah air suam.
“Maaf, tuan! Maaf!” kata Maya sambil tangannya laju menyapu air yang membasahi baju-T Damien.
Damien tergamam seketika. Untuk beberapa saat otaknya berasa keliru apabila jari-jemari Maya menyentuh dadanya yang basah. Apabila tersedar, dia segera menepis tangan Maya dan bergerak ke arah tangga. Terasa mukanya panas.
“Ambilkan air lain,” perintahnya sambil menyuakan gelas yang dipegang tadi.
“Baik, tuan.” Gelas itu dicapai segera oleh Maya lalu tergesa-gesa dia melangkah ke dapur. Tidak lama kemudian, gelas itu diserahkan semula kepada Damien tanpa suara.
Damien terus menaiki tangga semula. Otaknya masih keliru, sekujur tubuhnya terasa hangat membahang. Dia dibelit rasa bersalah dan berdosa. Kalaulah Anis nampak tadi…
 “Tuan!” panggil Maya di tepi tangga. Sambil tersenyum dia bertanya, “Siapa yang demam?”
“Puan,” jawab Damien sebelum mengatur langkah makin laju. Risaunya makin tebal. Ubat untuk Anis masih belum ada, Maya pula yang macam-macam. Makin tepu kepalanya.
“Saya ingatkan tuan yang sakit… muka tuan pun nampak pucat sikit.”
Damien menggumam dan lantas meneruskan langkah. Sudah dua orang mengatakan mukanya pucat, mungkin memang benar dia kurang sihat.
Di tepi tangga, Maya tersenyum lebar.
******
TANGANNYA sedikit ketar sewaktu memulas tombol pintu yang berwarna keemasan. Terasa dirinya masih diburu rasa bersalah yang tiba-tiba muncul dari entah mana. Sungguh dia tidak menjangkakan yang Maya akan berada di rumah itu sebegitu cepat. Jika dia tahu, dia tidak akan turun dengan hanya berbaju-T nipis dan berkain pelikat.
“Abang…,” panggil Anis.
Damien memandang wajah Anis yang tampak sangat pucat pagi itu. Bibir isterinya makin kering dan kini mata Anis juga bengkak. Kenapa dengan Anis ni? Dalam kekeliruan, dia menyuakan air yang dibawa kepada Anis.
“Minum sikit,” katanya bersulam rasa pilu. Sedih hatinya kerana gagal mencarikan walaupun sebiji ubat untuk Anis.
Anis tidak membantah. Dengan jari yang terketar-ketar dia menyentuh gelas yang dipegang suaminya. Sejurus itu juga rasa suam terasa di jari-jemarinya. Dia lalu meneguk setakat yang termampu ditelan.
“Abang tak jumpa ubat,” sambung Damien lagi.
Anis menggeleng.
“Ini pun dah cukup, bang,” jawabnya.
“Sekejap lagi, kita pergi klinik ya?”
“Anis tak laratlah.” Anis serahkan semula gelas yang dipegang kepada Damien. Hampir segelas juga air yang masuk ke perutnya.
“Kalau Anis tak larat, abang dukung.”
Anis menggeleng lagi.
“Mana boleh macam tu? Nanti melarat-larat demam Anis, siapa yang susah? Anis juga, kan?” Damien bersuara lembut. Tangan kanannya membelai rambut Anis yang sedikit kusut. Dia masih dapat merasakan tubuh Anis begitu panas.
“Tak nak… Abang belikan Anis ubat demam sajalah. Ada agaknya dekat kedai runcit tepi simpang jalan besar tu.”
Damien diam sebentar. Nampaknya Anis betul-betul tidak mahu ke klinik. Mungkin kerana Anis langsung tidak larat untuk meninggalkan katil, fikirnya.
“Abang beli dulu ubat demam tu, kalau tak sihat juga baru kita pergi.” Anis bersuara antara dengar dan tidak. Matanya terpejam rapat.
“Anis tidur dulu, nanti abang fikir apa yang abang boleh buat.” Dia membetulkan selimut Anis dan lantas turun daripada katil. Dia melangkah ke bilik air pula.
Selesai bersolat Subuh, Damien mengangkat tangan berdoa. Dia memohon untuk kesihatan Anis dan ayahnya. Dia juga memohon keampunan di atas setiap dosa-dosanya. Namun, apabila sekilas wajah Maya terbayang, hatinya kembali resah seperti ada sesuatu yang tidak kena.
*******
SETELAH mandi dan siap berpakaian ringkas, Damien mengambil kunci kereta. Dari tempatnya berdiri dia dapat melihat Anis sedang tidur nyenyak, walaupun begitu hatinya tetap tidak tenang. Selagi Anis tidak menelan sebarang ubat, dia masih berasa seperti dia bukan seorang suami yang bertanggungjawab.
“Abang cari ubat sekejap ya,” katanya kepada Anis. Apabila kata-katanya tidak dibalas, dia mengucup dahi Anis sebelum beredar. Sempat dia memerhati ke sekeliling sebelum menutup pintu.
“Bagaimana keadaan puan?” tanya Maya.
Lagi sekali Damien terkejut. Langkahnya terkaku di tepi pintu.
“Saya nak ambil baju kotor.” Bagaikan dapat membaca fikiran Damien yang keliru, Maya berkata dengan tenang sambil tersenyum.
“Ambillah tapi puan sedang tidur. Dia masih demam,” balasnya sambil mengatur langkah menuruni tangga.
“Saya… tak boleh masuk bilik tuan. Boleh tuan tolong ambilkan?”
Langkah Damien terhenti tetapi untuk memudahkan segala perkara, dia masuk semula ke bilik tidurnya. Tidak lama kemudian dia keluar membawa bakul kain lalu dihulurkan kepada Maya.
Maya menyambutnya dengan tenang.
“Tuan nak ke mana pagi-pagi ni? Sarapan saya dah sediakan,” katanya lagi. Selangkah demi selangkah dia mengekori Damien yang telah menuruni tangga.
Damien hanya menoleh sedikit ke arah dapur. Dari situ, dia dapat melihat ada makanan dan minuman yang terhidang di atas meja walaupun dia tidak pasti apa yang dihidangkan.
“Kan saya dah kata semalam? Awak tak perlu sediakan apa-apa untuk kami,” katanya dengan sedikit jengkel.
“Tak apalah, tuan. Puan pun tak sihat pagi ni. Marilah minum dulu, tuan… keluar dengan perut lapar tak baik. Di sini pun, kalau pagi-pagi macam ni jarang ada kedai makanan Melayu yang buka.”
Damien memekakkan telinga. Tanpa mempedulikan kata-kata Maya, dia terus melangkah ke arah pintu sambil menggenggam kemas kunci keretanya.
“Betul tuan tak nak makan dulu?” tanya Maya lagi. Dia sempat mengejar Damien di muka pintu hadapan. Di tangannya sudah ada sepiring kuih yang berbau harum. “Saya ada buat Kuih Sayang-Sayang. Cubalah rasa, tuan.”
Damien hanya menjeling tajam. Dia harap itu sudah cukup untuk mengunci mulut Maya yang terlebih ramah pagi itu. Lalu tanpa suara, dia cepat-cepat beredar dari situ.
“Baik-baik bawa kereta, tuan. Pagi-pagi ni… macam-macam benda ada kat atas jalan raya tu,” pesan Maya lagi sebelum Damien menutup pintu kereta.

Damien hanya menggeleng sendiri.


Blog, Updated at: Desember 16, 2013

0 komentar:

Posting Komentar

Cari Blog Ini

Diberdayakan oleh Blogger.