Sejak Kita Bertemu : Bab 12

Posted by


Bab 12
CAHAYA bulan memantul ke laut. Terbias dan teroleng-oleng dibawa ombak jauh ke tengah. Angin yang bertiup lembut menghantar rasa nyaman buat mereka yang berada di Medan Ikan Bakar Terapung Fort Supai pada malam itu, termasuklah Anis dan Damien yang sudah sejam berada di situ.
“Cantik, kan tempat ni?” tanya Damien. Mereka berdua leka menyaksikan keindahan laut yang disimbah cahaya bulan penuh.
“Tak sangka ada tempat macam ni kat sini,” balas Anis.
Dia fikirkan hanya kedai ikan bakar yang berdinding kayu di atas jeti nelayan. Rupanya-rupanya kedai ikan bakar terapung yang dihubungkan dengan jambatan batu yang cantik hingga di tepi laut. Bagaimanapun semua keindahan itu tidak memadamkan rasa aneh yang ada dalam hatinya sejak siang tadi.
“Tengok tu.” Damien menunjuk ke arah sebuah bukit di sebelah kiri medan ikan bakar itu, ada sebuah jeti yang menyambungkan tempat itu dengan bukit tersebut. “Di atas tu ada sebuah kubu lama. Sekarang dipanggil Fort Supai. Dulu kota tu dibina oleh tentera Belanda yang menjaga perdagangan bijih yang dikeluarkan menerusi Sungai Linggi. Sekarang jadi tempat bersejarah saja.”
“Kedudukannya agak selari dengan rumah kita kan, bang?” Dia cuma menduga.
Damien angguk. “Mungkin kita boleh nampak Vila Helena jika kita panjat bukit tu.”
“Nantilah kalau ada masa,” balas Anis.
Walaupun tempat itu indah dan mempesonakan namun ada sesuatu yang menganggu tumpuannya. Dia perasan Damien agak berbeza pada malam itu. Suapannya perlahan sahaja, bagaikan tidak berselera menikmati hidangan ikan bakar seperti selalunya. Belum sempat dia bertanya, Damien terlebih dahulu membuka mulut.
 “Apa kita nak buat esok?”
“Ikut abanglah,” balas Anis. “Anis tak kisah nak ke mana pun.”
“Alang-alang dah datang ni… apa kata kita jalan-jalan di Melaka Hilir? Anis pun belum pernah ke sana, kan?”
“Siapa kata Anis tak pernah pergi?” Anis membantah. Pandai-pandai sahaja Damien membuat cerita.
Damien tersenyum bagaikan puas hati apabila Anis mula melenting.
“Pernah ke?”
“Tapi dah lama. Semasa ikut rombongan sekolah dulu. Agaknya sekarang tentu dah banyak berubah.”
“Zaman sekolah rendah dulu tak payahlah cerita. Dah jadi sejarah juga,” balas Damien sambil ketawa kecil.
Anis tarik muka masam. Kecil hatinya apabila ditertawakan begitu. Dahulu, hidupnya cuma ada masa untuk belajar dan bekerja sahaja, mana ada masa untuk berjalan-jalan seperti orang lain? Duit gaji pun disimpan untuk masa depan. Maklumlah dia hidup sebatang kara. Siapa yang mahu membantu sekiranya kesempitan?
“Maafkan abang,” kata Damien sebaik sahaja menyedari yang air muka Anis sudah berubah muram. “Abang bukan nak ketawakan Anis. Esok abang bawa Anis jalan-jalan ke bandar. Anis belilah apa-apa barang yang Anis nak. Cencaluk ke, belacan ke… Okey?”
Seleranya sudah terbantut. Kini dia makan tidak serancak tadi lagi. “Ikut abanglah,” balasnya pendek.
“Merajuk ke?” Damien ikut berhenti menyentuh makanannya.
Anis geleng. Sedaya-upaya dia cuba mengawal rasa rajuk dan kecil hatinya. Mungkinkah dia yang terlalu sensitif ataupun sememangnya Damien  yang tidak sihat?
“Tak menjawab ni… tentu merajuk, kan?”
“Boleh juga jalan ke bandar esok. Sebelah petang pula… kita memancing,” balas Anis. Dia cuba untuk mengendurkan suasana. Rasa rajuknya cuba dipadamkan. Sampai bila dia harus merajuk?
“Ingatkan abang untuk beli peralatan memancing esok. Umpannya sekali. Abang lupa bawa.” Damien mula menyambung suapannya.
Ya, Anis sendiri terlupa untuk membawa apa-apa ke situ selain pakaian mereka tetapi itu bukan sesuatu yang menjadi masalah besar. Semuanya boleh dibeli di sini tetapi hatinya tetap dibelit kesangsian.
“Abang… abang sihat ke?” Akhirnya terluah juga pertanyaan itu.
Damien tergamam. “Kenapa tanya macam tu?”
“Entahlah. Abang yang patut jawab,” balas Anis.
Sejak dia melihat Damien hampir tumbang di pintu pagar siang tadi, dia sebenarnya memerhati setiap gerak-geri suaminya itu diam-diam.
“Abang tak sakit apa-apa,” jawab Damien sebelum menyedut air minumannya yang sudah hampir habis.
“Muka abang nampak pucat.” Itu jawapan yang jujur. Memang wajah Damien nampak pucat di matanya.
Damien terus meraba pipinya dengan tangan kiri.
“Ya ke? Abang pun tak perasan. Abang rasa abang handsomesaja.” Dia tersenyum pula.
“Kalau abang tak sihat, janganlah sorok-sorok,” kata Anis.
Dia mula rasa seperti tidak dipercayai. Sebagai isteri, dia mestilah tahu apa yang sedang dialami oleh suaminya. Tetapi kini, dia berasa seperti tidak berguna.
“Abang sihat cuma sejak sampai ke rumah tadi, tengkuk abang rasa berat saja. Kepala pun sekejap pening sekejap hilang.” Barulah Damien mahu membuka cerita.
“Abang nak jumpa doktor? Manalah tahu, kalau tekanan darah abang naik ke….”
“Abang tak ada penyakit darah tinggi,” bantah Damien.
“Semalam mungkin tak ada, hari ini mungkin ada. Sakit-sakit macam ni kan cuma simptom? Kenalah jumpa doktor.”
“Nantilah,” balas Damien.
Anis mengeluh pendek.
“Tak mahulah nanti-nanti. Esok abang pergi jumpa doktor, okey? Kita pergi sebelum kita pergi ke Bandar Hilir. Kalau tak… Anis tak naklah pergi.”
Damien tergamam seketika. Dia diam sesaat.
“Yalah, yalah…,” katanya sebelum tersenyum semula.
Anis berasa sedikit lega. Itu sahaja yang dipinta. Dia bukanlah seorang doktor yang boleh mengesan penyakit suaminya. Dia hanya seorang isteri yang tahu menggesa suaminya mendapatkan rawatan awal jika perlu. Dia hanyalah seorang isteri yang tahu berperasaan runsing jika suaminya kesakitan.
“Anis jangan risau ya? Abang tak apa-apa,” kata Damien sambil memandang wajah Anis.
Anis angguk. Senyuman suaminya dibalas dengan penuh ikhlas. Dia sakit tidak mengapa, dia cuma tidak sanggup melihat suaminya sakit.
******
KIRA-KIRA pada pukul 11.00 malam, mereka berdua sudah berada semula di rumah mereka. Ternyata tempat medan ikan bakar terapung itu tidaklah begitu jauh dari situ. Sebaik sahaja balik, Damien terus bersolat Isyak sebelum menukar pakaian dan naik ke atas katil. Anis membiarkan sahaja, mungkin memang benar Damien tidak sihat.
“Abang lapar tak?” tanya Anis sambil tangannya menyelak selimut.
“Anis tanya apa tadi?” Damien menoleh ke arah Anis sebentar sebelum mengiring semula ke arah dinding sambil memejamkan mata.
“Anis tanya abang lapar ke? Kalau lapar, dalam almari bawah tu ada sebungkus mi segera,” terang Anis. Kini dia sudah bersedia untuk memadamkan lampu tidur. Risau juga jika Damien masih lapar.
“Anis lapar ke? Abang kenyang makan ikan bakar tadi. Sedap juga makan dekat situ, kan? Tempat pun tak jauh.”
“Kalau abang tak lapar, tak apalah. Abang tu tadi makan nasi sikit saja. Boleh kenyang ke?” tanya Anis sambil mengiring ke sebelah kiri untuk mematikan lampu tetapi dengan tiba-tiba, dia berasa hairan. Eh! Kenapa Damien diam saja? Lalu dia menoleh. Perlahan-lahan, dia mendekati wajah suaminya. La… dah lelap? Katanya dalam hati.
Dia tersenyum. Untuk beberapa saat dia menatap wajah suaminya yang sedang nyenyak tidur. Wajah itu nampak sungguh tenang, sungguh selesa. Anis mengeluh perlahan, selimut Damien dibetulkan sambil dia sendiri menarik selimut sampai ke leher. Dia yakin, dia akan menggigil apabila hari menjelang pagi dalam suhu bilik sesejuk itu. Namun demi keselesaan Damien dia bertahan.
Sejam berlalu… mata yang dipaksa pejam itu jadi celik kembali. Sejuk sangat ke? Dia mengerekot menghadap Damien. Kadang-kadang kalau sejuk sangat pun, dia susah lelap tetapi ada kemungkinan dia susah lelap malam itu kerana bertukar tempat tidur. Maklumlah tempat baru, katil baru dan suasana baru. Dia mengeluh perlahan, sambil cuba memaksa dirinya untuk lelap seperti suaminya.
“Kalau Anis nak kahwin juga dengan dia, kahwinlah. Mak tak kisah. Nak sangat berlakikan orang kaya.”
Dengan tidak semena-mena, kata-kata itu terngiang jelas di telinganya. Kata-kata yang diterimanya apabila dia menyampaikan hasrat Damien kepada ibu tirinya dahulu. Satu berita yang sepatutnya diterima dengan rasa syukur, menjadi berita yang menimbulkan kemarahan dan perlian.
“Bukan soal kaya atau tak, mak. Tapi ni soal masa depan, Anis,” balasnya pada waktu itu.
Sejujurnya dia tidak tahu apa salah Damien sehinggakan begitu sinis jawapan yang diberikan ibu tirinya. Padahal selama ini dia dan Damien tidak pernah membelakangkan keluarga dalam perhubungan mereka. Tetapi satu sahaja yang dia cukup tahu… apa sahaja yang dia buat semua tidak betul di mata ibu tirinya. Yang kurang dihina, yang lebih diiri.
“Lantak kamulah tapi jangan harap mak nak keluarkan duit sesen pun. Nak beri makan adik-adik kamu pun tak cukup ini pula nak berhabis duit untuk kenduri kendara kamu? Kamu ingat banyak sangat ke harta yang ayah kamu tinggalkan dulu? Berguni? Bergantang?” balas ibunya lagi.
Ya, dia sudah menduganya. Dia sudah menduga dia akan keseorangan dalam menguruskan hal itu. Sejak ayahnya meninggal, dia tinggal bersama ibu tirinya yang telah menggantikan tempat ibu kandungnya sejak dia berusia hampir setahun. Di mana ibu kandungnya dia tidak pernah tahu. Dia hanya memiliki nama dan sekeping gambar lama.
“Ini gambar mak Anis,” kata ayahnya semasa berusia hampir dua belas tahun.
“Kenapa ayah serahkan pada Anis? Ayah simpanlah.” Gambar itu dihulurkan semula kepada ayahnya.
Ayahnya menggeleng. Gambar itu diletakkan semula ke dalam tangan Anis. “Anis simpan gambar ni. Kalau tak… nanti mak tiri Anis bakar. Nanti Anis tak ada langsung gambar mak Anis.”
Baru dia sedar tujuan ayahnya.
“Simpan baik-baik. Ini saja yang tinggal,” kata ayahnya lagi sebelum meninggalkan bilik tidurnya.
Dia terpinga-pinga, namun sejak itu gambar itu berada dalam simpanannya. Ke mana-mana pun dia pergi gambar itu tetap dibawa. Walaupun dia tidak tahu di mana ibunya dan kenapa dia ditinggalkan namun dia tidak ada berasa benci kepada seorang wanita yang pernah melahirkannya. Tanpa wanita itu, tiadalah dia di dunia ini. Tiadalah dia mengenali Damien suaminya.
Prangg!!! Bunyi kaca terhempas kedengaran.
Mata Anis semakin celik.
*****
UNTUK seketika, Anis terkaku di atas katil. Hanya anak matanya yang bergerak-gerak memerhati ke kiri dan ke kanan. Bunyi apa pula tadi tu? Apa yang pecah? Rasanya semua pintu dan tingkap sudah ditutup tadi. Dia mula ribut berfikir. Ah! Mungkin tiupan angin laut kut? Dia menarik semula selimut hingga ke paras leher. Sempat juga dia menjeling jam loceng di meja sisi. Sudah hampir ke pukul 1.00 pagi.
Anis mengeluh perlahan-lahan. Apabila keadaan kembali tenang, dia kembali cuba melelapkan mata namun keadaan di bilik itu dirasakan semakin sejuk sehingga selimut yang dipakainya seolah-olah tidak memberikan kesan. Dia mula resah. Dia tidak mahu berjaga hingga ke pagi.
Pranggg!!! Bunyi kaca terhempas kedengaran lagi. Kali ini makin kuat pula.
Apa lagi yang jatuh ni? Ada tingkap yang lupa ditutup ke? Hisy! Satu kerja pula nak memeriksa tingkap di rumah tu pada pukul satu pagi, Anis mengeluh. Lalu dia bangkit dan menolak selimut ke hujung kaki, dia yakin ada sesuatu yang telah pecah di luar bilik.
Tombol pintu terasa amat sejuk di tapak tangannya. Apabila dipulas dan dibuka, terasa pintu agak berat dan ketat daripada biasa namun dia tidak mengendahkannya lalu melangkah keluar ke ruang tamu tingkat dua. Setelah memerhati dengan teliti, Anis tersedar. Tidak ada apa-apa pula yang pecah. Semuanya elok sahaja dalam keadaan asalnya. Sedang dia berpaling ke belakang untuk masuk semula ke bilik tidur, sekali lagi bunyi kaca terhempas ke lantai berbunyi.
Pranggg!!!
Di tingkat bawah ke? Anis menjenguk di tepi tangga namun tidak kelihatan apa-apa yang mencurigakan. Semuanya nampak seperti biasa. Di dapur kut? Dia terus berfikir. Sedang dia teragak-agak untuk turun ataupun tidak, terdengar bunyi tapak kaki seseorang. Begitu berat. Dia menjenguk dari tepi tangga.
Dalam kesamaran cahaya yang hanya diterangi lampu dari arah dapur, dia ternampak sesusuk tubuh lelaki sedang duduk di sisi piano. Bajunya berwarna putih, seluarnya juga putih. Dia memerhati betul-betul, matanya makin besar. Ah, tak mungkin dia!
Ting! Bunyi piano ditekan.

Kaki Anis sudah terpaku ke lantai. Dia tidak boleh bergerak. Dadanya berdebar kencang. Seluruh inci tubuhnya terkaku. Dan apabila lelaki yang dilihatnya itu melangkah ke arahnya, dia lalu jatuh ke lantai. Tidak sedarkan diri.


Blog, Updated at: Desember 11, 2013

0 komentar:

Posting Komentar

Cari Blog Ini

Diberdayakan oleh Blogger.