Tajuk:KUNCI
Penulis: Maria Kajiwa
Struktur : Kronologi
“HEI!” Ayuni menjerit seraya meluru ke kaki lima.
Aku yang terdengar jeritan itu terus berlari keluar sambil diikuti pekerja yang lain. Setibanya di situ aku melihat Isya menangis dalam pelukan Ayuni. Ayuni pula memaut Isya agar menjauhi Zam.
“Eh! Jangan masuk campurlah!” bentak Zam kepada Ayuni seraya cuba menarik tangan Isya.
“Hei! Apa ni?” Aku pula yang menengking Zam, lelaki bertubuh kurus dan tinggi lampai. Aku tahu dia teman lelaki Isya kerana aku selalu melihat lelaki itu menghantar dan menjemput Isya balik kerja tetapi aku tidak akan membenarkan dia bertindak kasar sebegitu.
“Argh!“ Zam bertempik seperti orang hilang akal. Selepas itu terus beredar ke arah motorsikal dan terus meninggalkan tempat itu.
Aku terpinga-pinga dan Isya semakin kuat menangis.
“Mari masuk dalam.”
Untuk mengelakkan hal itu menjadi perhatian orang ramai yang mula berkumpul aku cepat-cepat mengajak kesemuanya masuk sahaja ke dalam semula. Walaupun waktu kerja sudah tamat tetapi rasanya elok kalau Isya dibenarkan bertenang sebentar. Lagipun aku ingin tahu apa sebenarnya yang telah terjadi.
****
“Saya nampak Zam hayun helmet ke arah Isya.” Setibanya di ofis Ayuni terus membuka mulut.
Aku tergamam. Zam nak pukul Isya? Wah! Sudah melampau!
“Ambilkan Isya air dulu,” kataku sambil membawa Isya duduk di atas sofa. Hal tadi masih terbuku dalam hati. Tak sangka Zam sanggup mengasari Isya sampai sebegitu sekali. Mujurlah Ayuni ternampak tetapi tentu ada puncanya.
“Cuba cerita pada saya...” Aku memujuk setelah Isya berhenti menangis. Kini tinggal kami bertiga di situ. Aku, Ayuni dan Isya. Staf yang lain semua sudah balik kerana malam sudah semakin tua..
Isya diam. Dia hanya tunduk dengan wajah murung.
“Cakaplah Isya. Mungkin puan boleh tolong.” Ayuni pula memujuk.
Tiba-tiba Isya menangis sampai tersengguk-sengguk. Aku dan Ayuni hanya mampu berpandangan. Bimbang tersilap desak akan memburukkan keadaan.
“Kalau engkau nangis saja macam ni sampai bila nak selesai?” Ayuni mula naik angin aku hanya memberikan renungan tajam. Aku tahu Ayuni dan Isya agak rapat tetapi aku tidak tahu serapat mana.
Tanpa dijangka, Isya tarik kain yang dipakai ke atas sambil air matanya menitik. Maka terserlah kesan lebam sebesar pinggan di peha kanannya.
“Ya Allah! Zam buat ni?” Suara Ayuni meninggi. Buntang matanya.
Aku terkedu. Kesan lebam kehitaman itu sangat mengejutkan. Tambah menyedihkan aku ialah semasa bekerja Isya tidak sedikitpun menunjukkan tanda sakit cuma agak diam kebelakangan ini.
“Isya... cubalah cerita apa yang sebenarnya berlaku.”
0 komentar:
Posting Komentar