Kampung Silak Tua
SEBAIK sahaja motorsikalnya masuk ke halaman rumah, Azim tidak dapat menahan diri daripada tersenyum. Melihatkan siapa yang duduk di atas pangkin di bawah pohon manggis bersama ibunya, dia rasa sangat bahagia. Sudah beberapa bulan wajah itu tidak dilihat.
“Dari pondok ke, bang?”
Sambil turun dari motorsikal, Azim mengangguk. Pertanyaan Bahiyah tidak meninggalkan kesan kerana di hatinya berkocak seribu satu pertanyaan buat adik bongsunya itu.
“Pukul berapa Bahiyah sampai? Cuti semester dah mula ke?”
“Taklah, bang. Cuti study week seminggu. Lepas tu kena balik semula. Tapi nak staykat asrama pun, boring. Kawan-kawan semua balik. Takkan nak tinggal sorang pulak,” jawab Bahiyah.
“Eloklah macam tu. tapi nanti jangan asyik tengok televisyen pulak. Selepas seminggu satu apa pun tak belajar. Balik sini kosong. Balik sana pun kosong,” bidas Azim.
Bahiyah dan Mak Jiha hanya ketawa.
“Abang naik atas dulu. Balik sekejap aje ni. Nak ambil kitab.”
“Yalah,” balas Bahiyah.
“Tak makan dulu, Azim?” tegur Mak Jiha apabila Azim melangkah ke arah tangga.
Azim garu kepala.
“Tak, mak. Ustaz Hadi tak sihat hari ni. Jadi saya kena jaga budak-budak tu,” jawab Azim. “Insya-ALLAH malam nanti kita makan sama.”
Mak Jiha angguk sahaja.
Selepas beberapa minit, Azim pergi semula ke pondok agama yang dia uruskan bersama Ustaz Hadi. Dia tahu, dengan kepulangan Bahiyah ibunya akan berasa lebih gembira dan ada teman berbual.
“MAK... esok Bahiyah nak ke kampung sebelah.” Bahiyah bersuara sebelum menyuap nasi ke mulut. Asam pedas ikan pari masakan ibunya tengah hari itu buat dia makan bertambah-tambah.
“Ke kampung sebelah? Kampung yang mana satu?” Mak Jiha pandang muka Bahiyah lama-lama.
“Kampung sebelah hilir. Kampung Mati Api.”
“Kampung tu... nak buat apa ke situ?”
“Nak ke rumah kawan Bahiyah. Rosni.”
“Tapi selama ni tak pernah pulak mak dengar pasal kawan Bahiyah tu.”
“Dia junior Bahiyah tapi satu rumah. Baru masuk first semester. Dia pun balik sekali tadi tapi dia turun kat simpang. Nanti kakak dia jemput. Mak tahu ajelah. Bukan ada bas masuk ke kampung tu.”
“Kampung terpencil. Orang pun dah tak ramai duduk situ.”
“Tapi kampung tu tepi laut kan mak?”
Mak Jiha angguk.
“Rosni ajak mandi laut,” tambah Bahiyah.
“Tak payahlah. Situ bukan tempat orang berkelah. Pantainya pun tak boleh diduga.”
“Alah mak... bukan selalu.” Bahiyah tersenyum. Hatinya sudah tetap. Dia mahu ke rumah Rosni, berehat dan mandi-manda sampai petang.
“Ramai yang dah mati lemas kat situ,” balas Mak Jiha sambil menambah kuah asam pedas.
“Rosni kan ada? Tentu dia lebih tahu tempat mana yang selamat.”
“Tempat tu banyak ceritanya. Bahiyah janganlah turun ke laut. Pergi rumah kawan tu aje. Selepas tu balik.”
Mata Bahiyah terkebil-kebil. Hati berperang hebat. Antara kehendak hati dan tegahan ibunya. Dia belum dapat membuat keputusan.
“Nak pergi macam mana esok tu?”
“Pinjam motorsikal abang?”
“Itu kena tanya Abang Azim. Mak rasa macam tak ada harapan aje.”
Bahiyah terdiam. Akal tercari-cari jalan penyelesaian yang lain. Dia hendak pergi juga.
0 komentar:
Posting Komentar