PUJA: Bab 1

Posted by



Mulai hari ini saya akan masukkan beberapa Bab awal cerita PUJA - sekali mengambil selamanya bertuan. Setakat ini saya telah siarkan PROLOG dan Bab 1 di sana. Jemputlah membaca kisah ini yang saya tuliskan berdasarkan sebuah kisah benar.

PROLOG

PROLOG
400 tahun yang lalu…
Sewaktu Kampung Silak Tua belum diwujudkan.
“DI SINI ke Abang Waki?” tanya Alang. Setelah merentas hutan tebal separuh hari perjalanan, rombongan mereka yang terdiri daripada tujuh buah keluarga seramai hampir dua puluh orang, tiba di sebuah tanah yang agak rata.
Waki terangguk-angguk. Jauh renungan matanya, sejauh akalnya menilik dan memikir antara alam nyata dan tidak. Berat hati dan akalnya mengatakan bahawa itu tanah yang bertuah.
“Inilah tempatnya.” Akhirnya dia memberikan kata putus sebagai orang yang paling tua dalam kumpulan itu. Juga dianggap orang yang paling banyak ilmu dan tahunya antara sekalian yang ada di situ.
“Kalau begitu, bolehlah kita bersihkan tempat ni.” Alang yang paling rapat dengan Waki bersuara. Hatinya benar-benar lega kerana sekarang mereka semua sudah ada tempat tinggal yang baharu. Jika tidak ada aral melintang, suatu hari kelak, akan dicari juga jalan kembali ke Pagar Ruyong. Akan dibawanya isteri serta anak-anak yang masih tinggal di sana ke situ, fikirnya.
Mendengarkan kata-kata Waki dan Alang, maka yang lain-lainnya mula menebas dan menebang. Yang pandai menukang, menukang. Yang pandai menjalin, menjalin. Mana yang tidak pandai apa-apa sekadar mengalih kayu dan dahan. Tidak lama kemudian, kawasan itu pun teranglah sedikit rupanya.
“Elok juga tempat ini, Abang Waki. Di hadapan kita sungai, senang untuk mencari ikan dan udang. Di belakang pula paya, boleh kita bertanam padi.” Alang semakin gembira apabila menyedari betapa eloknya tapak yang dipilih oleh Waki. Dalam hati, dia makin mengkagumi kebolehan dan ketinggian ilmu lelaki itu.
Pujian Alang disambut oleh Waki dengan senyum tenang.
“Kita ada tujuh keluarga, pakat-pakatlah nak pilih kawasan yang mana. Yang pandai buat rumah, besarlah rumahnya. Yang pandai menebas, besarlah tanahnya,” katanya.

Alang juga bersetuju. Begitu juga dengan yang lain-lainnya, Sia, Abi, Hitam, Garang, dan Ubi. Alang-alang sudah merantau biarlah menjadi. Alang-alang sudah jauh biarlah bersungguh, fikir mereka. Cuma pada malam itu, rehat panjang yang mereka harapkan...gangguan yang tiba.

SAMBUNG BACA DI SINI:  PROLOG


Bab 1

Bab 1
“CEPAT! Cepat!!!”
Suara Manjoy meletus bersama tepukan bertalu-talu di bahunya. Jimmy langsung menekan pedal minyak. Tayar kereta berputar laju meninggalkan asap dan bunyi berderit yang memekakkan telinga. Entah kenapa hari itu, terasa segalanya seperti tidak kena. Bahkan tapak tangannya berpeluh sejuk dan menggeletar. Tidak seperti selalu.
“Gila! Macam angin!” Manjoy membentak marah dengan nafas yang menderu keluar masuk dadanya yang berombak-ombak.
Pakkai di sebelahnya hanya mengeluh berat. Wajahnya kusut.
Jimmy juga tidak bersuara. Matanya tidak lekang dari memerhati jalan raya yang masih sibuk dengan kenderaan walaupun matahari sudah hampir tegak di langit. Apa pun yang telah berlaku, dia mesti pastikan mereka bertiga sempat sampai ke Tol Gombak secepat mungkin. Hal polis yang mengejar laju di belakang mereka, kemudian sahajalah difikirkan. Mereka tidak akan dapat menewaskan dia walau kehadiran mereka secepat itu memang di luar jangka. Dia tidak akan tunduk pada polis.
“Cepat! Mereka dah dekat!” Pakkai pula menggoncang bahu Jimmy. “Mereka dah dekat!”
Sikap Pakkai membuatkan dada Jimmy sesak. Rasa marahnya makin menggila. Dia menyumpah-nyumpah dalam hati. Dalam kekalutan itu dia memecut selaju yang boleh. Kereta BMW yang dipandunya itu bagaikan pelesit meluru pantas menakutkan kenderaan lain yang menyasar ke tepi. Dia tidak akan kalah.
“Tu! Tu!” jerit Manjoy bagaikan orang sasau apabila terpandang sebuah kereta Honda Accord sedang menunggu mereka di hadapan Tol Gombak. Bendera merah yang dipasang pada cermin hadapan adalah tandanya.
Jimmy tidak menunggu lagi. Brek ditekan. Kereta tersasar menghala ke tepi pagar. Belum sempat kereta itu betul-betul berhenti, dia sudah membuka pintu. Begitu juga Manjoy dan Pakkai. Serentak, mereka bertiga terjun dari kereta dan berlari menghala ke pintu tol.
Dalam masa yang singkat kehadiran mereka menjadikan kawasan tol itu gempar. Ramai yang terpinga-pinga.
Pang! Pang! Pang!
Tembakan bertalu-talu dilepaskan ke arah mereka dari kereta polis yang meluru dari sebelah kiri.
Jantung Jimmy seperti mahu luruh. Beberapa das tembakan tersasar hanya beberapa inci dari tubuhnya. Dia mengerah segala tenaga untuk memecut ke kereta yang menanti, begitu juga Manjoy yang tidak menoleh sedikit pun ke belakang. Namun semakin dekat dia ke kereta yang menanti, semakin dia rasa ada yang tidak kena.
“Pakkai!” Jimmy menjerit.

SAMBUNG BACA DI SINI:  BAB 1


Blog, Updated at: Mei 25, 2014

0 komentar:

Posting Komentar

Cari Blog Ini

Diberdayakan oleh Blogger.