Rahsia Gadis VIP : Bab 9

Posted by


Terbitan: Aurora Creative
ISBN 978-967-10077-5-4


~Adakah Tuhan akan mengampunkan saya, umi?~

*Ia merupakan sebuah novel soft-mystery

Fraser’s Hill
SEJAM setengah selepas itu, perasaan Linda bercampur aduk. Selain rasa marah, dia juga rasa kecewa. Dalam pada masa yang sama, dia rasa tertekan dengan situasi yang sedang dihadapinya sekarang. Dan orang yang membuatnya begitu ialah Sofia.
“Kenapa lambat sangat ni?” Jazz mula merungut. Sekejap-sekejap dipandangnya jam tangan. Sekejap-sekejap dipandangnya pintu.
Linda tidak menjawab kerana dia sendiri kalau boleh mahu sahaja pergi dari situ. Kini, gara-gara Sofia yang masih sibuk menguruskan kepulangan tetamu di Raphael’s Cottage, mereka bertiga terpaksa berada di situ dengan pakaian yang tidak berganti sejak tadi. Mujurlah topeng sudah boleh dibuang, kalau tidak lagilah rimas.
Sedang termenung memikirkan apa yang akan berlaku di situ, terdengar suara Sofia di luar pintu. Tidak lama kemudian Sofia masuk ke ruang tamu bersama-sama suaminya.
“Sorry lambat. Macam-macam hal.” Sofia pandang keliling dengan muka yang tidak bersalah. “Umi mana?”
Linda makin geram. Pertanyaan Sofia hanya dibalas dengan bahu yang dijungkit sedikit. Walhal tadi, memang Tengku Mazwin ada di ruang tamu itu sekejap untuk berbual-bual dengan mereka tapi sekarang mereka sendiri tidak tahu ke mana dia menghilang.
“Semua dah ada?”
Suara Tengku Mazwin yang masuk ke ruang tamu sambil kerusi rodanya ditolak oleh Mak Wiyah membuatkan mereka semua tertoleh-toleh mencari.
Sofia cuma tersenyum.
“Sorry lah umi. Tak sengaja lambat,” katanya. Kini di ruang tamu itu, ada tujuh orang termasuk Mak Wiyah yang setia di sisi Tengku Mazwin.
“Semua dah balik?”
“Dah,” balas Sofia.
Linda perhatikan sahaja. Hanya kerana menghormati Tengku Mazwin, dia tidak buat hal di situ. Kalau diikutkan kata hati, sudah lama dia menengking Sofia yang tidak langsung menghargai masa orang lain. Seolah-olah masa dia sahaja yang berharga dan masa orang lain, tidak.
“Kalau semua dah ada, eloklah umi mulakan,” balas Tengku Mazwin.
Linda pegang tangan Jazz yang sejuk bagaikan air batu. Shereen di sebelahnya langsung menikus.
“Sepuluh tahun yang lalu, kamu bertiga menjadi penghuni di Raphael’s Cottage selama enam bulan.” Tengku Mazwin memulakan cerita. “Umi percaya banyak perkara yang kamu masih ingat. Banyak juga yang kamu telah lupakan. Tapi apa yang penting, ada satu rahsia yang kamu bertiga cuba sembunyikan daripada umi.”
Linda tercengang. Dia menoleh ke kiri dan kanan, di mana Shereen dan Jazz juga sama terpinga-pinga. Kemudian pandangan matanya jatuh ke wajah Sofia yang juga merah muka. Dia percaya, bukan dia sahaja yang tidak faham apa-apa, malah kesemua yang ada di situ juga.
“Rahsia?” Sofia lebih dahulu bertanya. “Rasanya tak ada rahsia yang umi tak tahu.”
Tengku Mazwin tersenyum hambar me-nyambut pujian Sofia.
“Itulah yang buat umi sangat kecewa. Umi sendiri sampai saat ini masih susah nak percaya.”
“Kami tak faham.” Linda menggeleng.
“Salah seorang daripada kamu bertiga telah mengkhianati kepercayaan umi.” Tengku Mazwin merenung tepat ke muka Linda.
Linda rasa terpukul sekali dengan tuduhan itu. Mukanya terasa panas. “Mengkhianati? Umi tak patut tuduh kami tanpa bukti,” katanya dengan berani.
“Adakah kamu fikir, umi berani menuduh begitu aje?” bidas Tengku Mazwin.
Yang lain terus senyap.
“Apa yang kami dah buat sampai umi tergamak tuduh kami macam tu?”
Linda renung muka Tengku Mazwin yang nampaknya begitu sedih dan tertekan dengan hal itu. Walhal, dialah yang lebih terasa dan tertekan kerana Tengku Mazwin seolah-olah melemparkan tuduhan itu kepada dia seorang.
“Bertenang,” sampuk Datuk Razif. “Kita dengar penjelasan umi dulu.”
Linda diam, begitu juga dengan yang lain. Cuma dadanya sahaja yang berdebar kuat. Dia rasa amat tertekan berada dalam situasi yang tidak boleh dikawal seperti itu.  
Tengku Mazwin termenung lama. Selepas puas termenung, dia mula membuka mulut.



Blog, Updated at: April 11, 2014

0 komentar:

Posting Komentar

Cari Blog Ini

Diberdayakan oleh Blogger.