Terbitan: Aurora Creative
ISBN 978-967-10077-5-4
~Adakah Tuhan akan mengampunkan saya, umi?~
*Ia merupakan sebuah novel soft-mystery
KINI semua mata yang hadir ke situ menumpukan sepenuh perhatian ke arah meja utama. Tengku Mazwin diapit oleh anaknya Sofia dan anak menantunya, Datuk Razif. Hanya tiga orang yang duduk di situ sementara tiga orang pengawal peribadi mereka berdiri kira-kira lima kaki dari meja utama. Suasana yang tadi riuh bertukar senyap sunyi.
“Mulakanlah.” Tengku Mazwin menoleh sedikit ke arah Sofia.
Mendengarkan kata-kata ibunya, Sofia terus bangun dan melangkah ke rostrum. Dia pun mula mengalu-alukan kedatangan para jemputan dan memberikan sedikit ucapan. Setelah selesai, dia kembali ke meja utama bersama mikrofon.
Mikrofon bertukar tangan, Tengku Mazwin memulakan bicara dengan salam, selawat dan doa.
“Terlebih dahulu… umi ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada anak-anak kerana masih sudi menerima jemputan umi.”
Tidak ada seorang pun yang berani berbunyi. Sofia menelan air liur. Tidak berani memandang sesiapa. Dia percaya pada saat itu bukan seorang yang mahu membunuhnya.
“Seperti yang semua tahu, Raphael’s Cottage ini sangat bermakna kepada umi. Dan umi juga percaya, rumah ini mempunyai makna kepada anak-anak juga. Terlalu banyak kenangan yang umi simpan di rumah ini, terlalu banyak rahsia yang umi jaga. Terlalu banyak masalah yang timbul dan pergi.
Kalau dinding dan tingkap rumah ini boleh bercakap, tentu mereka akan bercerita tak henti-henti. Tapi umi juga tahu, tak ada siapapun di sini yang mahu disebut semula kisah lampaunya. Dan biarlah segala yang telah berlaku itu hilang bersama runtuhnya rumah ini nanti.”
Tengku Mazwin berhenti mengambil nafas sejenak.
“Tak ada apa yang lebih menggembirakan hati umi selain melihat anak-anak umi menjadi manusia yang berguna. Hidup di landasan yang benar. Dan sekarang memberi semula apa yang umi beri kepada masyarakat dan ahli keluarga masing-masing.
Didiklah mereka supaya tidak hidup terpesong ke jalan yang salah. Tugas ini bukan tugas umi semata-mata. Tugas kita semua,” sambungnya.
“Petang ini, apabila umi melihat anak-anak umi di hadapan umi sekarang, umi rasa tenang. Umi percaya apa yang umi lakukan selama ini tidaklah sia-sia. Umi cuma harap, anak-anak umi dapat memaafkan segala salah silap umi semasa mendidik dan menjaga anak-anak umi dulu.
Mungkin pada waktu itu cara umi kasar, garang, tegas tapi percayalah, bukan senang untuk menjadi umi.
Kalau boleh, umi sendiri tak mahu anak-anak dihantar ke sini langsung. Tapi, apa yang telah berlaku itu suratan takdir. Bertemu dan berpisah itu sudah ditentukan. Umi cuma minta maaf atas segala tindakan umi dulu.
Dan umi harap anak-anak sudi maafkan umi. Umi cuma mahu pergi dengan tenang. Dan harap kalau ada anak-anak umi yang masih marahkan umi, sudi maafkan umi.
Umi juga doakan moga-moga, anak-anak umi di sini hidup bahagia dan dirahmati ALLAH SWT setiap masa.
Ingat pesan umi… hidup kita di dunia ini bukan untuk dunia semata-mata tapi untuk mengumpulkan bekalan di akhirat. Tujuan kita dihidupkan adalah untuk beribadah dan mengabdikan diri kepada ALLAH SWT.
Jadi buatlah apa aje, carilah harta sebanyak mana tetapi pastikan apa yang kita lakukan itu tetap bertujuan untuk mencapai keredhaan ALLAH SWT. Insya-ALLAH, kita akan selamat di dunia dan di akhirat.”
Ucapan Tengku Mazwin akhirnya tiba ke penghujung. Ada sebilangan tetamu yang hadir, menyapu air mata.
Mikrofon bertukar tangan.
“Sekarang, kita akan sama-sama menyaksikan kerja-kerja meruntuhkan Raphael’s Cottage di-mulakan.”
Sofia menarik sehelai kain putih yang direntang lebar sehingga menutup pandangan tetamu sejak tadi. Sebaik sahaja kain putih itu terjatuh, enjin sebuah jengkaut dihidupkan. Semua yang hadir terjenguk-jenguk dan menahan nafas apabila jengkaut itu menghentam dinding dapur Raphael’s Cottage yang telah dikosongkan.
Tengku Mazwin tunduk merenung jari-jemarinya.
Sofia lantas memeluk ibunya yang mula menitiskan air mata. Dia faham, hati ibunya menangis tetapi zaman telah berubah.
KINI majlis sudah berubah rentak. Sementara sedikit demi sedikit dinding Raphael’s Cottage jatuh mencium bumi, hadirin dijemput menjamu selera. Namun Sofia perasan, ada beberapa orang yang tidak mahu menjamah apa-apa dan langsung mahu meninggalkan majlis tetapi dia bukan bodoh.
“Tolonglah, Sofia. Aku ada majlis malam ni. Aku kena sampai di sana sebelum Maghrib,” kata Linda.
Makin lama berada di situ, makin dia tidak berasa selesa. Terasa seperti sedang diperhatikan. Atau dia sahaja yang terlebih perasan?
“Aku dah tulis dalam aturcara, kau orang semua tak baca ke?” balas Sofia dengan dingin.
Dia sudah menjangkakan semua itu akan berlaku. Kalau semua yang hadir kelam-kabut cabut lari sebaik sahaja ucapannya selesai, apa pula kata ibunya?
“Takkan tak boleh bertolak ansur?” sampuk Shereen pula. Dia, Jazz dan Linda sama-sama sepakat untuk mendesak Sofia melepaskan mereka.
“Not today.” Begitu tegas Sofia menolak. Dia bergerak menjauhi meja utama, bimbang kalau ibunya dapat tahu masalah itu.
“Sofia, please… Aku tak tipu. Malam ini aku ada majlis penting.”
Linda terus mengekori Sofia hingga ke meja hidangan. Di situ sudah berdiri Mak Wiyah dan Rosni. Linda hanya sempat melemparkan senyuman. Dia belum ada masa untuk berbual dan menegur Mak Wiyah walaupun hatinya sangat teringin.
“Tempat ini hanya boleh ditinggalkan pada pukul 6.00 petang. Selepas itu aku takkan ganggu hidup kau orang semua lagi.”
“Tak bolehlah macam tu. Kalau aku keluar dari sini pukul enam, pukul berapa pula aku nak sampai KL? Paling cepat pun, pukul 8.00 malam kalau jalan tak jammed. Tak mungkin sempat.” Linda pegang tangan Sofia.
“Aku tak peduli. Semua orang ada masalah masing-masing tapi mereka boleh pula ketepikan masalah mereka untuk majlis ini. Kenapa pula kau tak boleh?” Sofia memandang tajam ke arah Linda.
Dilihatnya gadis itu masih mempunyai sikap degil yang kuat melawan seperti dahulu namun untuk hari yang sangat bermakna buat ibunya, dia juga tidak akan mengalah.
“Kau ingat aku tak tahu?” Linda tersenyum sinis. “Aku tak percaya semua yang ada kat sini datang dengan rela hati. Kalau kau tak sorokkan kereta, aku percaya tempat ni dah lama kosong.”
“Whatever. Tapi yang pentingnya hanya pada pukul enam nanti, kereta akan datang menjemput kau orang semua. Itu pun kena tunggu giliran kalau mahu balik asing-asing.” Sofia melangkah pergi.
Kata-kata Linda berjaya menyakitkan hatinya tetapi sia-sia sahaja dia belajar erti tegas kalau lentur kepada sindiran sebegitu. Apa yang pentingnya, senyuman di wajah ibunya sekarang yang sedang berbual dengan beberapa orang yang hadir sambil minum petang.
Namun langkahnya tidak sempat jauh apabila salah seorang pengawal peribadi suaminya memanggil dia kembali ke meja utama.
SEBAIK sahaja Sofia tiba, beberapa orang gadis yang berbual-bual dengan ibunya terus bangun meninggalkan meja. Begitu juga Datuk Razif, suaminya. Dia tidak hairan. Dia tahu semua tetamu tidak sukakan dia sejak dahulu. Dia pun tidak pernah sukakan mereka.
“Ada apa, umi?” Sofia duduk semula di sisi ibunya. “Umi nak berehat ke? Saya boleh suruh driver hantar umi balik dulu. Saya belum boleh balik lagi.”
Tengku Mazwin menggeleng.
“Umi mahu jumpa mereka bertiga.” Dia pandang muka anaknya lama-lama. Dia tahu segala-galanya akan berubah selepas ini.
“Siapa?” Sofia pandang sekeliling. Dia benar-benar tidak menjangka permintaan umi itu. “Ramai di sini, umi. Siapa yang umi nak jumpa? Batch tahun berapa?”
“Linda, Shereen dan Jasmina.” Tengku Mazwin menyebutnya dengan jelas sekali.
Sofia terdiam namun anak matanya melirik ke arah tiga orang yang disebutkan oleh uminya tadi. Mereka bertiga sedang sibuk berbual di suatu sudut dengan piring makanan di tangan masing-masing. Ternyata akhirnya gadis bertiga itu mengalah juga dengan ketegasannya walau tidak ada sedikit pun riak gembira di wajah mereka. Dia peduli apa?
“Kenapa tiba-tiba umi nak jumpa mereka?”
Kali ini Tengku Mazwin merenung wajah anaknya. Dengan senyuman meleret dia menjawab, “Bawa mereka ke rumah Sofia selepas habis majlis.”
“Bawa mereka ke rumah?” Sofia benar-benar keliru. “Buat apa pula, umi?”
“Di sana nanti, umi akan beritahu.”
“Mereka nak balik cepatlah, umi. Masing-masing kata ada majlis lain malam ni,” balas Sofia. Di hatinya mula timbul perasaan yang tidak enak. Apa yang mahu diberitahu oleh ibunya? Kenapa tidak diberitahu di situ sahaja?
“Umi tak peduli. Sofia mesti bawa mereka bertiga ke rumah Sofia selepas habis majlis.”
Sofia tergamam. Dia hanya mampu melirik ke arah gadis bertiga itu sekali lagi. Nampaknya dia tidak ada pilihan lain.
0 komentar:
Posting Komentar