Terbitan: Aurora Creative
ISBN 978-967-10077-5-4
~Adakah Tuhan akan mengampunkan saya, umi?~
*Ia merupakan sebuah novel soft-mystery
Hotel Antigallican
Woolrich Road, London.
HOTEL itu hanya hotel bajet bertaraf dua bintang yang dibina di sebuah bangunan dua tingkat. Namun, kerana kedudukannya yang dekat dengan pelbagai tempat tarikan seperti Millenium Dome dan lain-lain membuatkan Remy tertarik untuk memilih hotel itu sebagai tempat persembunyiannya untuk beberapa hari.
Jazzilicious: Jangan lupa beli CD saya yang baru tu tau..
Star1: Dah belilah, Jazz. Jumpa Jazz aje yang belum. Bila nak balik?
Jazzilicious: Minggu depan. Jumpa saya di Genting, pada 10 haribulan. Saya ada show kat sana.
Star1 : Jauhnya… kalau dekat bolehlah datang.
Jazzilicious : Datang ajelah. Tiket bukan mahal sangat pun. RM 450 aje sorang. Ajak kawan-kawan yang lain tau.
Star1: Mahal sangatlah, Jazz. Tak ada diskaun untuk fans ke? Half price..
Jazzilicious: Half price tak ada tapi kalau beli tiket ikut fans group dapat pas jumpa saya lepas habis konsert.
Remy pejam celik matanya beberapa kali. Rasa pedih pada matanya makin teruk setelah hampir sejam melayan peminat-peminat Jazz di kotak chat. Sepatutnya itu kerja Jazz.
Tetapi kalau Jazz tidak ada, dialah yang terpaksa menyamar menjadi Jazz melayani peminat-peminat Jazz yang ada sesetengahnya terlalu fanatik dan sanggup buat apa sahaja. Oleh itu, tidak ada bezanya hari itu apabila dia sekali lagi menggantikan tempat Jazz.
Sambil-sambil itu dia membelek telefon bimbitnya kalau ada mesej daripada Jazz ataupun panggilan terus. Sayangnya, sudah hampir separuh hari, Jazz meng-hilangkan diri.
Dia mula rasa menyesal kerana melepaskan Jazz balik ke Malaysia bersendirian beberapa hari yang lalu. Setelah semua mesej yang dihantar tidak berbalas, panggilannya juga tidak berjawab, dia campakkan sahaja telefon pintarnya ke atas katil. Komputer ribanya juga dimatikan sahaja tanpa sebarang ucapan selamat tinggal.
Dia turunkan kaki ke lantai bilik yang dilapisi permaidani biru tua. Kemudian menapak beberapa langkah ke hadapan dan lantas membuka sedikit langsir siang berwarna putih. Diintai sedikit permandangan di luar hotel yang dibatasi rintik hujan yang menujah kasar ke bumi.
Namun, apa yang hadir adalah rasa bosan yang makin mencengkam. Kalau bukan kerana ditegah oleh Jazz, mahu sahaja dia balik serentak ke tanah air.
“Takut ada yang perasan,” kata Jazz beberapa hari yang lepas.
Dengan berat hati dia terpaksa menerima alasan Jazz itu kerana dia sedia maklum wartawan di Malaysia sudah setaraf papparazzi. Adakala dia pernah terfikir kalau ada mana-mana staf yang bertugas di lapangan kapal terbang itu adalah juga mata-mata wartawan hiburan.
Pantang dia mencecahkan kaki di situ, ada sahaja wartawan hiburan yang menyambutnya dengan kamera dan pita rakaman. Apatah lagi, dia yakin kepulangan Jazz setelah memenangi pertandingan lagu di Amsterdam minggu lalu sangat ditunggu-tunggu.
Deringan telefon bimbitnya membuatkan dia berpaling. Dengan langkah yang pantas dia merebahkan semula punggungnya di atas katil beralas cadar berbelang biru putih itu. Namun, apabila diangkat telefon bimbitnya, perasaannya yang tadi begitu teruja untuk mendengar suara Jazz terus pudar.
Salam dijawab dengan nada yang bersemangat. Di hadapan wartawan dia harus menjaga reputasi Jazz sebaik mungkin.
“Saya masih di London,” jawabnya kepada pertanyaan yang sudah dijangkakan itu.
Lebih-lebih lagi kepada Abang Tom yang terkenal sebagai wartawan hiburan yang berbisa. Komentar dan gossipnya seringkali menggegarkan dunia hiburan tanah air.
“Eh! Ya ke? Ada orang bagitahu abang, dia nampak Jazz di KL.”
Spontan, dada Remy berdebar.
“Mana ada, bang? Salah orang tu. Kami berdua masih ada kat sini. Minggu depan baru balik,” balasnya.
“Jazz mana? Boleh abang cakap dengan dia sekejap?”
“Sekarang tak boleh, bang. Dia sedang buat sound checkuntuk show malam ni.”
“Alah, panggillah dia sekejap. Sekejap aje.”
“Tak boleh, bang. Kerja dengan Mat Saleh ni tahu-tahu ajelah. Lambat seminit pun dah tarik muka.”
“Okey.” Abang Tom mengalah. “Tapi kalau Remy balik nanti, cepat call abang. Berilah abang berita scoop dulu. Dah banyak kali abang cover Jazz dekat paperabang.”
“Boleh. Tak ada masalah tu.” Remy layankan sahaja. Lagipun itu perkara yang cukup baik bagi perkembangan karier Jazz sendiri.
“Ingat tau. Abang nak cover tiga page tentang kemenangan dia di Amsterdam tu. Nak ambil gambar dengan trofi besar dia sekali.”
“Cecah aje kaki di Malaysia, saya call abang,” jawab Remy bersungguh-sungguh. Dia buat atau tidak apa yang dikatakan itu, lain kira. Berlakon mesti handal.
Mujurlah, Abang Tom tamatkan panggilan setakat itu sahaja. Kalau tidak, jenuh juga dia mahu menjawab kerana dia tahu Abang Tom bukannya percaya satu apa pun yang dia cakap pasal Jazz. Lebih-lebih lagi kalau sudah ada yang mengkhabarkan tentang kepulangan Jazz secara rahsia ke tanah air. Tentu Abang Tom akan siasat hingga ke akar umbi.
Hatinya mula rasa bengang. Jazz sepatutnya lebih berhati-hati. Tersilap langkah, reputasi Jazz akan tercalar dan penat lelahnya menaikkan nama Jazz akan hancur begitu sahaja. Ah! Dia rasa mahu memecahkan tingkap.
0 komentar:
Posting Komentar