AMAT RINDU KAMU ~ merupakan sebuah kisah semi-realiti masyarakat. Ia mengisahkan bagaimana seorang gadis bernama Hana telah kehilangan anak patung kesayangannya yang bernama Mr. Teddy. Dalam tempoh pencarian ini, Hana akan bertemu dengan pelbagai pengalaman baharu. Mr. Teddy pula menjadi saksi kepada satu demi satu pengalaman apabila jatuh ke tangan orang lain. Apakah Hana dan Mr. Teddy akan bertemu di akhir cerita? Mari kita ikuti kisah ini.
**********************************************
AZAN Maghrib sedang berkumandang dari masjid negeri apabila kereta Hana tiba di hadapan sebuah flat setinggi 4 tingkat. Setiba keretanya di situ, dia melihat masih ramai kanak-kanak yang berlari-lari walaupun malam mula merangkak tiba. Dan dia sedar beberapa orang penghuni flat itu mula tertoleh-toleh ke arahnya. Dia mula rasa tidak selesa.
“Terima kasih sebab hantar abang sampai ke depan tangga,” kata Badrul sambil tersengih. Dia tidak sangka hati Hana sebaik itu selepas apa yang dilakukannya tadi. Tetapi dalam masa yang sama, dia lega kerana dia yakin Hana sudah tidak marah lagi.
“Abang tinggal dengan Abang Mat, kan?” Hana menjeling deretan rumah-rumah di situ.
“Haah menumpang rumah Abang Mat. Tu, di tingkat empat.” Badrul tunjukkan rumah Abang Mat.
Hana pandang sahaja ke arah yang ditunjukkan. Tidak perlulah dia beritahu yang dia pernah ke rumah Abang Mat bersama ibunya. Pada dia itu tidak penting. Cuma dia rasa kasihan. Tentu Badrul termengah-mengah naik turun tangga setiap hari.
“Okeylah, abang turun dulu ya. Dah Maghrib ni.”
“Yalah.”
“Lepas ni Hana terus balik kedai tau. Nanti mak Hana bising pula.”
“Ya.”
“Jangan melencong ke tempat lain pula. Nanti mak Hana ingat abang ada dengan Hana.”
Hana mengeluh. Rimas dengan perangai Badrul. Sebaik sahaja Badrul keluar dari kereta, Hana terus menghidupkan enjin. Tanpa menunggu lagi, dia tinggalkan kawasan flat itu dan menuju semula ke kedai ibunya. Sepanjang perjalanan dia memikirkan apa yang baharu berlaku.
Dia menimbang-nimbang di mana kesalahan dan kecuaian dirinya sehingga menyebabkan hal itu berlaku. Namun kemudian dia akur, semua itu takdir ALLAH SWT. Tidak upaya dia menahan walaupun selama ini dia tidak pernah leka menjaga Mr. Teddy.
“JUMPA?” Puan Khalidah menyoal Hana sejurus Hana masuk ke dalam kedai.
“Tak ada.”
“Tak ada?” Puan Khalidah terdiam sesaat.”Tak apalah esok cari lagi. Mungkin tercicir di tempat-tempat yang Hana pernah singgah.”
“Petang esok Hana hendak ke rumah kawan Hana sebab Hana singgah rumah dia tadi sebelum balik.”
“Hana dah telefon dia?”
“Dah tiga kali Hana telefon tapi dia tak angkat.”
“Besok di kolej, Hana tanyalah.”
Hana angguk. Walaupun dalam hati dia sedar tidak semudah itu. Baru sahaja dia hendak duduk di meja, ibunya langsung menegur,
“Jangan duduk dulu! Pergi mandi dan solat Maghrib. Nanti habis waktu.”
“Mak dah solat?” Hana tidak jadi duduk di kerusi.
“Baru aje. Hana pergilah,” balas Puan Khalidah sebelum meninggalkan kaunter untuk melayan pelanggan yang baru masuk.
Dengan perlahan Hana mengheret beg sandangnya menuju ke sebuah bilik di belakang restoran.Dia bersolat dan berdoa panjang. Selepas mandi dan bertukar pakaian dia keluar semula ke ruang hadapan untuk membantu ibunya. Sayangnya langkah dia terus mati apabila terpandang ibunya sedang melayan seorang lelaki.
SUASANA di Restoran Janji Sayang semakin rancak. Semakin ramai pelanggan yang singgah untuk makan malam. Pekerja dan pelayan sibuk sekali memenuhi permintaan pelanggan. Puan Khalidah turut tidak menang tangan membantu mana yang terdaya. Hana sudah terbiasa namun kehadiran lelaki yang seorang itu selalu tidak disenanginya.
Bimbang tidak dapat menahan perasaan, dia berpatah balik ke dapur dan keluar melalui pintu belakang. Dia duduk di situ bersendirian. Ingatan kepada ayahnya terus berputar. Alangkah bahagianya jika ayahnya masih hidup.
“Kenapa duduk dalam gelap ni?” tegur Puan Khalidah.
Hana terperanjat tetapi pertanyaan itu tidak dijawab.
“Masuklah, banyak nyamuk di luar ni,” tambah Puan Khalidah. Melihatkan Hana monyok begitu hatinya risau.
“Mak masuklah dalam. Nanti balik pula Pak Cik Hashim tu.” Kali ini Hana membalas. Sekaligus meluahkan apa yang terbuku di hatinya.
Puan Khalidah terasa sesuatu.
“Pak Cik Hashim dah balik dah pun. Dia beli bungkus aje tadi.”
“Cepat pula? Selalunya berjam-jam.”
“Kenapa Hana marah-marah ni?” Puan Khalidah akhirnya mengalah dengan sikap Hana. Dia sedar setiap kali Hashim bercakap dengan dia, Hana mula buat perangai. Makin lama makin teruk.
“Tak sukalah,” balas Hana. Kalau diikutkan hati mahu diluahkan segala hatinya yang telah terbuku sekian lama.
“Kenapa Hana tak suka sangat dengan Pak Cik Hashim tu? Dia kan kawan lama arwah abah Hana? Kami dah kenal, sejak Hana belum lahir lagi.”
“Iyalah tapi Hana tengok dia makin lama makin kerap pula datang.”
“Biarlah… dah dia makan di kedai.”
“Itulah puncanya. Sebab dia tak ada isteri dan emak tak ada suami,” sampuk Hana dengan cepat.
“Hana, jangan cepat bersangka buruk pada orang. Emak dengan Pak Cik Hashim tu tak ada fikir pasal perkara lain tau…” Suara Puan Khalidah semakin tinggi. Terasa hatinya dengan kata-kata Hana.
Hana hanya membisu. Apa pun yang dikatakan ibunya, dia tetap tidak suka kepada Pak Cik Hashim. Memang Pak Cik Hashim baik dengan mereka sejak dia kecil namun itu bukannya alasan untuk mendekati ibunya.
“Lagi pun dia pelanggan tetap kita, takkanlah emak nak sombong pula dengan dia. Hana fikirlah sendiri.” Puan Khalidah bangkit dan meninggalkan Hana. Dia tidak selesa berbual mengenai perkara itu lagi. Kalau Hana hendak berburuk sangka kepada Hashim, terpulanglah.
Setelah ibunya pergi, Hana makin sedih. Tanpa Mr. Teddy di sisi dia benar-benar berasa berseorangan.
MALAM itu Puan Khalidah tidak dapat melelapkan mata. Walaupun tubuhnya kepenatan namun kata-kata Hana tadi terus terngiang-ngiang di telinganya. Dan wajah Hashim mula bersilih ganti dengan wajah arwah suaminya di ruang mata.
Dia mengenali Hashim dan arwah suaminya hampir serentak. Waktu itu, mereka sama-sama bergiat dalam persatuan belia di tempat mereka. Masa berlalu, dia dan arwah suaminya jatuh cinta lalu berkahwin. Hashim pula yang bekerja sebagai seorang guru berkahwin dengan anak muridnya. Namun isterinya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Semenjak itu Hashim hidup menduda sehinggalah sekarang.
Sewaktu suaminya meninggal, Hashim antara yang paling banyak membantu dan mengambil berat. Dia tidak akan lupa segala budi baik Hashim kepada dia dan Hana selama ini. Hashim jugalah yang banyak memberi nasihat hal-hal kewangan dan perniagaannya. Pendek kata, Hashim sememangnya seorang sahabat semasa susah dan senang.
Namun Hana tidak pernah mengerti semua itu. Hana tidak pernah tahu suka dan duka yang ditanggung selama menguruskan kehidupan mereka dua beranak. Segala kerisauannya, ketakutannya dan kesusahannya semua dikongsikan dengan Hashim. Dan semuanya disembunyikan daripada pengetahuan Hana.
Pada dia, biarlah Hana hidup penuh gembira. Cukuplah Hana menanggung kesedihan setelah kehilangan ayahnya. Dia tidak mahu Hana berasa susah hati dek sebab perkara-perkara yang lain. Sayangnya, segala apa yang dia dan Hashim cuba lakukan kini dipandang pahit oleh Hana.
Dia tidak mahu Hana memusuhi Hashim. Hashim tidak bersalah.
Sambil menarik nafas panjang dia menatap gambar ayah Hana yang tergantung di tepi dinding. Airmatanya mula bergenang. Sedikit pun kasihnya tidak pernah kurang tetapi sebagai manusia dia tetap berasa kesunyian. Dia perlukan seorang teman untuk berkongsi segala-galanya. Susah senangnya. Resah pilunya. Salahkah apa yang dia buat?
Lagipun lambat laun Hana pasti berkahwin dan hidup berkeluarga juga. Hana akan meninggalkan dia berseorangan.
Malam itu dia resah sekali lagi.
0 komentar:
Posting Komentar