PETANG bertamu dengan pantas, bagaikan berebut-rebut dengan matahari yang masih belum jemu bercumbu dengan bumi. Lalu petang itu terang-benderang dan masih panas walaupun jarum jam sudah menunduk hampir ke pukul 6.30 petang.
Setelah Maya pulang, Anis dan Damien bagaikan dua orang budak kecil yang bermain pondok-pondok. Habis satu rumah besar itu digeledah dan dilawati tanpa jemu. Semua bilik besar dan kecil dimasuki dan akhirnya mereka keluar ke sebuah anjung batu yang terletak di luar rumah itu dengan wajah yang gembira dan puas.
Anjung batu itu berbentuk empat persegi bujur dan dibina di atas sebuah bongkahan batu besar. Hujungnya betul-betul berada di atas gigi pantai. Ketinggian tempat itu ke dasar pantai lebih kurang 30 kaki. Jika dijenguk ke bawah, hanya hamparan bongkahan batu-batu besar dan kecil yang menanti.
“Cantik tempat ni,” kata Anis sambil tersenyum.
Dia berasa puas hati dengan rumah itu luar dan dalam. Anjung batu yang dibina di atas bongkahan batu itu yang paling disukainya. Ia unik dan agak terlindung daripada jalan oleh sebuah hutan kecil yang tumbuh semulajadi di tepi lereng pantai di sebelah kiri rumah.
Damien bersandar di penghadang anjung batu yang diperbuat daripada besi yang berukir awan larat. Dia memandang ke arah Villa Helena.
“Apa rancangan Anis sekarang?”
“Rancangan?” Anis termangu. Dia tidak memikirkan apa-apa selain mahu ke situ dan menghabiskan masa bersama Damien.
“Anis nak tinggal di sini?” Damien toleh ke arah Anis.
Anis tergamam. Itu sesuatu yang tidak pernah terlintas langsung di fikirannya. Dia lantas menggeleng.
“Abang dan abah tinggal di KL, takkan Anis nak tinggal sorang di sini?”
Damien tersenyum. Sambil memandang wajah Anis dia berkata, “Kami akan ikut ke mana saja Anis tinggal. Asalkan Anis gembira.”
“Itu kata abang. Abah pula gembira di Rumah Marzita. Itu kan cinta hati, abah? Abang dah lupa?” balas Anis pula.
“Kenapa Anis harus menolak?”
Anis terdiam seketika sebelum membalas, “Bukan menolak cuma Anis tak mahu mementingkan diri sendiri. Kerana kegembiraan Anis, kegembiraan orang lain terkorban. Ini pun sudah banyak Anis menyusahkan abang dan abah.”
“Tapi kalau Anis nak tinggal terus di sini pun abang tak kisah. Abang boleh buka satu cawangan di sini. Beroperasi dari sini pula.”
“Anis rasa lebih baik kita jangan terburu-buru. Sehari mungkin suka, sebulan? Setahun? Belum tentu,” jawab Anis.
“Tapi abang sayangkan Anis sampai bila-bila…,” kata Damien sambil mendekatkan bibirnya ke telinga Anis.
Anis ketawa. Lain yang dibincangkan lain pula yang difikirkan oleh Damien.
Damien yang melihat, terus sahaja memaut bahu Anis. Mereka berdiri bersebelahan sambil memandang ke arah rumah seperti tadi juga.
“Kita fikir kemudian sajalah,” kata Damien pula.
Anis menarik nafas. Apa lagi yang boleh dikatakan? Dia memang tidak ada rancangan untuk rumah itu. Mungkin belum ada hari ini, mungkin akan ada esok lusa. Dia berserah sahaja. Yang pentingnya, buat masa ini dia mahu jauh dari Kuala Lumpur dan wajah-wajah yang boleh membuatkan hatinya terluka.
“Anis perasan tak… rumah Anis ni bukan dua tingkat?” tanya Damien pula.
“Bukan dua tingkat ke?”
“Kalau campur dengan loteng tu, jadi tigalah,” jawab Damien sambil menunjukkan jarinya ke arah rumah. Dari situ kelihatan sebuah tingkap kecil terletak di atas bilik tidur mereka.
Anis merenung rumah itu betul-betul. Kini dia nampak tingkap kecil empat segi yang ditunjukkan Damien.
“Tingkap sahaja kut?” Itulah apa yang difikirkan. Mungkin tingkap itu tidak lebih daripada sekadar penambah seri kepada rumah itu.
“Loteng,” balas Damien sambil berpeluk tubuh pula. Masih bertegas dengan pendapatnya.
“Tingkap.” Anis yakin itu cuma tingkap kerana memang tidak ada tangga naik ke atas rumah itu.
Damien mengeluh pendek. Akhirnya dia menjawab sambil tersenyum. “Tak kisahlah loteng ke, bilik ke… yang pentingnya Anis suka.”
Anis juga ikut tersenyum. Sejuk hatinya mendengar kata Damien. Dia memang sukakan rumah itu. Malah Vila Helena jauh lebih besar dan cantik daripada apa yang dibayangkan selama ini. Dia bersyukur.
“Mari kita periksa. Kalau loteng, Anis belanja abang makan ikan bakar malam ni. Kalau tingkap, abang yang belanja,” ajak Anis. Tangan Damien ditarik.
Damien tidak membantah. Mereka berdua berkejar-kejaran pula ke dalam rumah dan matahari pun mengalah kepada aturan Tuhan.
*****
“ABANG patut minta pelan rumah ni dari abah,” kata Anis. Riak wajahnya menunjukkan dia sedang runsing melihat kelakuan Damien yang seperti orang gila. Ketuk sana, ketuk sini.
Damien tarik nafas. Perasaan geramnya bertambah. Dia belum mahu mengaku kalah. Bukan takut mengeluarkan duit seseratus dua membayar harga ikan bakar tetapi ini soal kepuasan hatinya. Hatinya yakin di atas bilik tidur mereka itu ada lagi sebuah bilik lagi.
“Sudahlah tu, bang,” tegur Anis apabila Damien masih lagi mundar-mandir tidak henti-henti.
Damien mendongak ke atas, kemudian memandang ke sekeliling. Akhirnya dia masuk ke bilik yang bersambungan dengan bilik tidurnya. Bilik yang dikhaskan untuk menyimpan beg dan pakaian mereka. Sayangnya setelah puas dia membelek setiap almari dan mengetuk sana sini, dia tetap tidak menjumpai apa-apa pintu rahsia ataupun tangga yang boleh naik ke atas. Dia bertambah bengang.
Semasa dia keluar dari bilik kecil itu, dia dapati Anis sudah bercekak pinggang berdekatan katil. Tetapi dia masih belum mahu mengalah. Dia keluar daripada bilik itu pula dan memerhati siling rumah itu.
“Nak cari tangga loteng macam rumah orang putih dalam TV tu ke?” tegur Anis yang mengekori Damien dengan rapat.
Damien angguk. Dia melangkah laju dari bilik ke bilik di tingkat atas itu yang mempunyai empat bilik besar kesemuanya. Setelah puas diperiksa, dia masih hampa. Semua siling ditutup dengan plaster ceiling yang kemas. Tidak ada sebarang lubang.
“Puas hati?” tanya Anis di tepi tangga.
“Abang tahu di atas ni ada sebuah bilik lagi. Mungkin bukan satu… mungkin dua atau mungkin tiga.” Damien menjawab tanpa memandang Anis. Dia bingung kerana kata hati dan bukti tidak selari.
Anis menggeleng beberapa kali.
“Anis tak percaya? Satu hari nanti abang akan dapat juga naik ke loteng tu.”
“Bukan tak percaya tapi tak payahlah beria-ia macam tu. Kalau jumpa loteng tu pun kita nak buat apa?” Anis tersenyum pula.
Damien terdiam seketika.
“Semasa abang kecil dulu, abang suka duduk atas loteng. Abah siapkan loteng tu jadi tempat bermain abang dan Danny. Kadang-kadang… kami jadikan tempat tu tempat menyorok bila takut kena marah oleh arwah mak.”
“Jadi Rumah Marzita pun ada loteng? Kenapa Anis tak tahu pun?”
“Sebab abang tak cerita,” balas Damien.
Dalam usia perkahwinan mereka yang baru mencecah enam bulan itu masih terlalu banyak perkara yang belum diceritakan kepada Anis. Lebih-lebih lagi apabila Anis dilanda kemurungan selepas itu. Tetapi jauh di dasar hatinya, dia ingin sekali Anis tahu segala-galanya tentang dia dan masa lalunya.
“Sekarang abang cari loteng tu sebab nak ajak Anis main di situlah?” Anis ketawa kelucuan.
Damien turut ketawa. Pertanyaan Anis tadi mencuit hatinya.
“Kalau Anis sudi,” balasnya sebelum menarik Anis masuk ke dalam bilik mereka semula. Kakinya sudah letih dan mahu berehat sahaja. Namun ada jawapan yang tidak berani disuarakan… jawapan yang sebenarnya.
“Yey, Anis menang! Malam ni abang belanja ikan bakar!” kata Anis sambil merebahkan tubuhnya ke atas tilam.
Damien senyum sahaja. Dia gembira apabila Anis gembira. Kemenangannya tidaklah penting tetapi hatinya tetap merintih. Dia pun ingin bermain di atas loteng bersama anak-anaknya satu hari nanti… tetapi semua itu tidak mampu disuarakan. Lalu dia masuk ke bilik air, menyapu air matanya. Dia segera mandi dan berwuduk untuk menunaikan solat Maghrib, mungkin dengan itu kesedihannya akan gugur satu persatu.
*****
DARI atas bukit, seorang perempuan tua menyaksikan segala-galanya. Sebuah kereta Hummer dan dua orang manusia baru sahaja tiba di Villa Helena itu beberapa jam yang lalu. Dia yakin, daripada gaya mereka, rumah itu akan kembali bercahaya pada malam itu seperti beberapa tahun dahulu. Tetapi dia juga yakin cahaya itu akan malap semula tidak lama kemudian seperti yang berlaku saban waktu.
“Hei! Apa intai-intai orang ni?” sergah seorang anak muda berambut panjang paras bahu beberapa tahun yang lalu.
Anak muda itu adalah anak sulung daripada tiga beradik yang menghuni Vila Helena pada waktu itu. Sekali pandang wajah anak muda itu seiras wajah seorang gadis dengan rambut panjang terurai separas bahu jika tidak terlihat biji halkumnya yang besar dan menonjol.
Dia diam sahaja. Sergahan itu tidak dijawabnya. Namun hatinya kuat merasakan, kedatangan keluarga itu di Vila Helena tidak akan lama.
“Berambuslah! Buat apa tengok rumah orang ni?” kata anak muda itu lagi sambil membuka pintu pagar Villa Helena. Daripada gayanya, anak muda itu ingin keluar bersama adik-beradiknya yang lagi dua orang.
Dengan terketar-ketar, dia menghayunkan langkah meninggalkan pagar rumah itu. Dia datang hanya untuk memberi amaran tetapi oleh kerana begitu sambutan yang diterimanya, niat hatinya dipendam sahaja. Biarlah mereka sekeluarga ditelan keangkuhan mereka sendiri, kata hatinya. Lagipun sudah tujuh keluarga diberikan amaran namun tidak ada satu pun yang mahu mendengar nasihatnya. Semua menganggap dia seorang perempuan gila yang tinggal di atas bukit ataupun seorang peminta sedekah yang hina-dina.
Hari ini… dia melihat sebuah lagi keluarga menginap di Villa Helena. Jika mereka hanya menginap semalam dua, mereka mungkin akan terselamat. Jika lebih daripada itu, dia sendiri tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku. Apatah lagi jika mahu mendiami rumah itu. Villa Helena bukan mudah untuk dijinakkan.
Tatkala dia mendongak melihat lembayung senja yang mula merangkak tiba di kaki langit, dia terpandang ke arah pokok besar di halaman rumah Vila Helena. Matanya terpaku melihat berpuluh-puluh ekor burung belibis yang bermata merah sedang bertenggek di segenap cabang dahannya. Lalu dadanya bagaikan dihentak pukulan yang amat kuat. Nafasnya tercungap. Dia segera tahu masa yang dinantikan telah tiba.
Lantas, dalam bunga senja yang kian kelam, dia melangkah pulang selaju yang boleh. Dia tidak sanggup lagi berlama-lama di situ. Dia tahu Vila Helena akan mengamuk buat sekian kalinya….
0 komentar:
Posting Komentar