Bab 5
KEESOKAN harinya, Damien dan Anis bertolak ke Melaka. Setelah hampir dua jam di atas lebuh raya, kereta Damien meluncur keluar melalui Tol Pedas lalu masuk ke sebatang jalan biasa. Dari situ, dia memandu menyusuri jalan itu menuju ke sebuah tempat yang terletak dalam daerah Tanjung Agas.
“Betul ke ini jalannya, bang?” Anis bertanya.
Damien menoleh ke arah Anis seketika. Wajah Anis nampak tidak selesa, nampak cemas. Dia yakin Anis sedang berdebar-debar. Malah mungkin Anis sedang bergelut dengan rasa gembira dan takut. Dia faham.
“Hisy! Tak percaya pada abang ke?”
Anis diam.
Damien ketawa kecil. Mungkin Anis takut mereka akan tersesat entah ke mana tetapi dia ada GPS. Kalau tersalah arah pun mungkin dalam jarak 100 meter sahaja. Jalan di Malaysia ni bercakap, bak kata ayahnya. Maksudnya banyak papan tanda yang menunjukkan nama jalan dan arah. Sejauh manalah mereka boleh tersesat? Tetapi dia tahu hati Anis memang sentiasa diselubungi kebimbangan dan keraguan yang terlalu kuat. Itulah yang ingin dikikisnya nanti.
“Betullah jalan ni. Di sebalik bukit tu laut. Tempat ni dulu salah sebuah kubu pertahanan tentera penjajah yang mengawasi selat,” sambungnya lagi apabila mereka sudah masuk ke sebuah simpang kecil di hujung sebuah pekan kecil yang bernama Pekan Rastali.
Anis menoleh ke arah kirinya. Yang dilihatnya hanyalah rumah-rumah kampung yang didirikan sebuah-sebuah dengan halaman yang agak luas. Pokok-pokok kelapa, rambutan dan mangga tumbuh subur di samping pokok-pokok bunga kertas pelbagai warna yang ditanam berjajar di dalam pasu. Tidak sedar, matanya asyik melihat suasana perkampungan yang mendamaikan di sepanjang jalan namun begitu wajahnya tetap tidak ceria.
“Anis tengok apa?” tegur Damien lagi.
“Cantik tempat ni. Macam kampung Anis.”
Hati Damien tersentuh. Dia faham, Anis rindukan kampung halamannya namun mereka sama-sama tahu Anis sudah terbuang jauh dari keluarga sendiri. Ayah Anis sudah meninggal, ibu pula entah di mana. Hanya keluarga ibu tiri Anis yang menetap di situ, mereka pula tidak pernah mahu menerima Anis. Malah sejak Anis berkahwin dengannya, keluarga ibu tirinya itu seolah-olah sudah berlepas tangan. Mereka sudah melepaskan Anis bulat-bulat kepadanya. Dia tidak ada masalah cuma dia faham Anis sesekali rindukan kampung halamannya.
“Kalau Anis suka, inilah kampung Anis sekarang. Tapi abang rasa, rumah Anis tu tentu lebih cantik. Sekejap lagi kita sampai,” katanya sekadar menghiburkan hati.
Anis diam semula. Cuma apabila kereta Damien mula mendaki bukit, dia mula memberikan lebih perhatian.
“Cantiknya….” Seolah-olah tanpa sedar, Anis mengucapkan kata-kata itu. Matanya terpaku memandang laut yang kelihatan dari kedudukan itu. Makin lama makin jelas terbentang.
Damien memandu dengan tenang. Jalan berbukit itu agak lengang. Tidak ada banyak kenderaan yang melaluinya tetapi dia sendiri rasa kagum dengan apa yang terhidang di hadapan mata. Subhanallah! Ucapnya dalam hati.
“Itu ke rumahnya, bang?” Anis membongkokkan tubuhnya ke hadapan lalu menjenguk ke arah sebelah kanan.
Dari situ kelihatan tersergam sebuah rumah banglo yang terletak di atas tanah yang mendatar, betul-betul di pinggir bukit yang menghadap ke Selat Melaka. Atapnya kelabu dan keseluruhannya banglo itu berwarna hitam dan putih. Hanya rimbunan bunga-bunga pelbagai warna menyuntik sedikit seri selain terdapat sebatang pokok besar merendang yang tegak di sisi rumah.
Damien membaca semula alamat yang tertera di atas kad yang diberikan ayahnya semalam.‘Vila Helena’ begitulah namanya vila yang dicari-cari. Apabila keretanya mendekati rumah itu, dia berhenti di tengah jalan lalu menoleh ke arah kanan. Dia tersenyum.
“Ya, inilah rumahnya.”
Tanpa berlengah, dia menekan pedal minyak dan memutar stereng. Keretanya membelok ke sebelah kanan dan masuk ke sebuah jalan kecil bertar yang sudah pudar warna.
Anis tidak bersuara. Dia memerhati sahaja Damien menghentikan kereta di luar pagar rumah itu. Hatinya makin berdebar. Inikah rumahnya?
“Apa tunggu lagi?”
Damien tersenyum apabila Anis masih lagi tidak berkutik dari tempat duduknya. Dari riak wajah Anis, dia dapat merasakan yang Anis masih terperanjat apabila melihat rumah sebesar itu. Apabila Anis masih diam, dia terus membuka pintu kereta, mungkin dia yang perlu memulakan segala-galanya.
Dia menapak ke pintu pagar. Walaupun nampak tenang, hatinya tetap berdebar-debar juga. Dia juga rasa tidak sabar untuk melihat rumah itu dari dekat. Entah bagaimana… seperti ada satu deruan angin yang kuat memukul mukanya. Dia jadi tergamam sebentar. Selepas itu, pandangan matanya berpinar. Dia hampir rebah.
“Abang!” kata Anis yang baru melangkah keluar dari kereta. Dia sempat memaut lengan Damien. “Kenapa ni?”
Damien hanya menggeleng. Tidak ada jawapan yang dapat diberikan pada waktu itu. Malah kepalanya tetap terasa berat dan tubuhnya seram sejuk seperti orang demam. Dia juga terbau sesuatu yang busuk seperti bangkai yang sedang mereput namun semuanya didiamkan sahaja demi menjaga perasaan Anis.
“Tak ada apa-apa….” Dia berbohong tetapi Anis masih merenung wajahnya dengan pandangan yang pelik. “Betul. Abang okey. Marilah masuk,” katanya.
Anis mula tenang semula.
Lalu Damien menggagahkan juga kudratnya untuk membuka pintu pagar.
“Tak berkunci,” katanya apabila melihat pagar rumah itu hanya diletakkan ensel yang tidak dimanggakan.
Anis ikut sahaja suaminya melangkah masuk.
“Welcome, to your new home!” kata Damien lagi sambil memegang bahu Anis.
Kini mereka berdua berdiri di tengah-tengah halaman rumah. Di hadapan mereka tersergam sebuah rumah besar dua tingkat. Lebih besar dari apa yang mereka lihat daripada jauh.
Anis angguk perlahan. Matanya terpaku memandang rumah di hadapannya. Sedang mereka berdua leka memerhati, pintu hadapan rumah itu terbuka dan muncullah seorang gadis manis.
“Selamat datang, tuan, puan….” Gadis itu berkata.
Anis tergamam. Dia menoleh ke arah Damien.
*****
ANIS tidak bergerak dari tengah halaman. Walaupun kepalanya dimamah cahaya matahari yang tegak di atas kepalanya, dia tetap tidak melangkah ke hadapan walaupun setapak. Entah kenapa, kehadiran gadis manis di hadapan pintu itu telah memadam segala rasa gembiranya yang mula hadir.
Tetapi di sebalik pandangan mata Anis yang menikam, gadis itu hanya berlagak selamba sahaja. Dia melebarkan daun pintu dan sekali lagi mempersilakan Anis dan Damien masuk ke dalam.
“Jemputlah masuk,” katanya tanpa memandang lagi.
Damien memegang tangan Anis lalu tersenyum.
“Kita masuk dulu,” katanya seraya memberikan pandangan penuh makna kepada Anis. Seolah-olah cuba menyatakan yang hal itu akan dibincangkan kemudian.
Anis faham. Apa pilihan yang dia ada? Takkan dia hendak merajuk dan lari balik pula? Cuma dia tidak suka dengan situasi itu. Apa lagi kejutan yang menantinya?
“Mari,” ajak Damien sekali lagi. Dia dapat merasakan hati Anis tidak senang. Dia sendiri rasa terkejut dan tidak menyenangi situasi itu.
Melihatkan ketenangan Damien, Anis cuba menepis rasa marahnya ke tepi. Dia mula melangkah masuk. Namun sebaik sahaja dia memijak lantai rumah itu, dia diserbu rasa sejuk dengan tiba-tiba. Bulu romanya terus tegak berdiri dari hujung jari hingga naik ke tengkuk. Seolah-olah dia masuk ke sebuah tempat yang bersuhu sangat rendah. Dia terpinga-pinga seketika.
“Macam mana?” tanya Damien sambil menoleh ke arahnya.
Dia terkebil-kebil. Macam mana? Tentulah cantik. Cantik sangat bagaikan sebuah istana perhiasan dalamannya. Terfikir di benaknya berapa banyak wang yang dihabiskan ayah mertuanya untuk menghias semula rumah itu. Dia terharu.
“Okey,” jawabnya. Rasa seram sejuk tadi dilupakan sahaja. Mungkin kerana perubahan suhu, fikirnya. “Awak ni siapa?”
Dia menoleh pula ke arah gadis yang menyambut kedatangannya dan Damien tadi. Dia sebenarnya tidak lupa kepada hal yang pokok. Segala keindahan di dalam rumah besar itu tidak mampu membuatkan dia lupa terhadap perkara yang sedang mengganggu jiwanya.
“Saya penjaga rumah ni. Nama saya Maya.” Gadis itu tersenyum namun tidak menghulurkan salam. Dia hanya tercegat di tepi dinding memerhati gelagat Anis dan Damien.
“Awak penjaga rumah ni? Dah berapa lama awak bekerja di sini?” tanya Anis lagi.
Suaranya tetap mendatar bagaikan tidak berperasaan. Namun makin lama, makin cuak hatinya apabila melihat gadis itu daripada dekat. Dengan bibir yang terbentuk elok, raut wajah yang bujur sireh dan rambut yang ikal mayang, gadis itu sungguh cantik di matanya. Apatah lagi jika gadis itu tersenyum, sedap sungguh mata memandang.
“Dah beberapa tahun.” Gadis itu menjawab. Kini dia sudah berhenti tersenyum seperti tadi. Mungkin kerana nada suara Anis yang tidak begitu ramah seperti yang diharapkan.
Dah beberapa tahun? Jadi gadis itu memang tinggal di situ?
“Awak… tinggal di sini? Tak takut ke tinggal sorang-sorang dalam rumah sebesar ini?” Anis cuba berhelah.
Bagaimanapun pertanyaan Anis mengundang senyuman di wajah Maya. “Saya balik ke rumah saya bila petang. Di sebelah pagi saya datang.”
Anis angguk perlahan bersama rasa lega yang dirasakan kini. Walau bagaimanapun dia masih tidak begitu selesa dengan kehadiran Maya di situ.
“Apa tugas awak di sini?” Dia bertanya namun matanya masih memerhati suaminya yang sudah berada di ruang tamu kedua rumah itu. Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi petikan piano dari situ. Nampaknya Damien mula selesa namun bukan dia.
“Bersihkan rumah, siram pokok bunga.” Maya menjawab. “Tapi bila puan dah ada ni, saya juga akan masak dan basuh baju puan.”
“Tak payahlah susah-susah masak untuk kami. Lagipun suami saya hanya makan masakan saya. Saya boleh masakkan untuk dia.”
Maya angguk faham.
“Selain awak… ada orang lain tak di rumah ni? Tukang kebun?” tanya Anis lagi.
Itu pun satu maklumat yang penting. Dia tidak mahu lagi apa-apa kejutan untuknya. Kehadiran Maya di situ sudah cukup membuatkan darahnya naik ke kepala. Betapa dia membayangkan yang dia hanya akan tinggal berdua di situ sepanjang tempoh percutian.
“Saya seorang saja, puan,” jawab Maya.
Anis menjeling. Kini dilihatnya Maya seperti takut-takut kepadanya. Tidak seperti tadi, kini Maya tidak lagi mengangkat muka memandangnya. Mungkin gadis itu sudah tahu, dia bukanlah seorang kawan dan jika dia terancam… dia tidak akan takut untuk bertindak. Jadi Maya harus awas. Dia bukan saingan. Rumah itu rumahnya dan lelaki yang berdiri berdekatan piano itu adalah suaminya.
“Abang!” laungnya apabila Damien semakin jauh.
Damien berpatah balik ke arahnya.
“Masukkan kereta dulu. Boleh kita bawa masuk beg,” katanya.
Rasanya semua persoalannya tentang Maya sudah terjawab. Dia juga yakin Maya memahami di mana garis sempadan di antara mereka berdua.
Damien hanya mengangguk dan lantas menuju semula ke pintu masuk. Kemudian menghilang.
Setelah Damien pergi, Anis mula memeriksa rumah itu namun tangga yang menghala ke tingkat dua, dirasakan amat menarik hatinya. Dia pun melangkah ke situ.
*****
DAMIEN mengeluarkan beg pakaian daripada kereta. Beg itu diletakkan sahaja di tepi pintu sementara dia melangkah menuju ke sebuah meja batu berwarna hijau di tepi sebuah kolam ikan. Dia duduk di atas kerusi batu yang tersedia sambil melihat ikan-ikan koi berenang-renang tetapi bukan itu tujuannya pergi ke situ.
“Boleh saya bercakap dengan Encik Yahya?” tanyanya sebaik sahaja salamnya disambut oleh suara seorang wanita di hujung telefon.
Sambil bertanya dia memicit kepalanya yang terasa berat. Dia runsing jika kesihatannya merosakkan percutian dia dan Anis di situ tetapi ada hal lain yang perlu diselesaikan dahulu.
“Encik Yahya bercuti. Dia ke Thailand,” jawab suara yang menjawab.
“Bila dia balik?”
“Mungkin seminggu lagi. Encik boleh tinggalkan nombor, dia boleh hubungi encik bila dia balik nanti.”
“Tak boleh ke saya terus call dia di sana? Ada nombor telefon bimbit dia?” tanya Damien lagi. Timbul rasa kecewa di hatinya apabila tidak dapat bercakap dengan orang yang menguruskan rumah itu.
“Memang ada, encik. Tapi… dia dah pesan supaya tak diganggu. Apa-apa hal, dia akan uruskan bila dia balik nanti,” terang wanita itu lagi.
Damien mengeluh perlahan.
“Kalau macam tu tak apalah. Saya berikan nombor saya, suruh dia telefon saya segera nanti. Pesan pada dia juga anak Tan Sri Dzairil telefon,” balasnya seraya meninggalkan nombor telefon bimbitnya pada wanita itu. Perbualan pun berakhir.
“Dah sampai?” Suara Tan Sri Dzairil terus masuk ke telinganya apabila panggilan keduanya bersambung.
“Baru setengah jam, abah,” jawabnya.
“Macam mana? Cantik tak rumah tu?”
“Cantik. Tapi saya belum tengok habis lagi,” jawabnya dengan jujur.
“Bunyinya macam tak suka saja?”
Damien tersenyum nipis. Pandangan matanya dialihkan ke arah laut di hadapannya.
“Mana boleh tak suka, abah? Tapi… abah tak kata abah sediakan pembantu rumah sekali dekat sini. Saya fikir kami tinggal berdua saja.”
“Pembantu rumah?” Tan Sri Dzairil terdiam seketika. “Mungkin syarikat Yahya yang sediakan untuk jaga rumah tu sementara waktu. Damien dah telefon dia? Cuba tanya.”
“Saya dah cuba call dia… tapi dia tak ada kat ofis. Dia dah lepas ke Thailand sekarang. Saya minta nombor telefon dia tapi orang di pejabatnya tak nak beri pula.” Damien merungut.
“Kalau macam tu, biarkan sajalah. Kalau Damien dan Anis rasa tak suka pada pembantu rumah tu, suruh saja dia balik atau serahkan saja pada agensinya. Kalau kena bayar apa-apa caj pun, bayar sajalah.”
Betul juga, kata hati Damien. Tetapi dia perlu berbincang dengan Anis dahulu. Mungkin Anis suka jika ada pembantu rumah di situ. Sekurang-kurang ada juga teman berbual dan ada pembantu yang boleh menolong membersihkan rumah sebesar itu. Anis pun masih tidak berapa sihat.
“Biar saya bincang dengan Anis dulu. Kalau dia tak kisah, tak apalah. Kalau tak… teruk juga nak bersihkan rumah sebesar ini.”
Tan Sri Dzairil ketawa. “Ingat… layan dia baik-baik. Senangkan hati dia. Jangan buat dia penat sangat.”
Damien tersenyum semula. Walaupun jauh, ayahnya masih mengingatkan dia soal itu. “Saya ingat… tapi tadi saya lihat dia berbual dengan pembantu rumah tu. Saya rasa elok juga dia ada kawan baru.”
“Satu permulaan yang baik,” kata Tan Sri Dzairil.
Dia juga rasa begitu. Setelah perbualan mereka berakhir dia lantas bangun lalu melangkah ke arah rumah. Tetapi langkahnya terhenti di tepi sebuah pasu besar yang berisi pokok bunga ros berwarna merah muda. Tanpa ragu-ragu, dia memetik bunga itu sekuntum lalu dibawa masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja dia melangkah, terasa tengkuknya dicuit. Dia spontan menoleh ke belakang namun tidak ada apa-apa pula yang kelihatan.
0 komentar:
Posting Komentar